9 Ahli Parlimen PKR bertanggungjawab jika Madani tumbang

9 Ahli Parlimen PKR bertanggungjawab jika Kerajaan Madani tumbang

HASSAN ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sembilan Ahli Parlimen PKR yang mendesak Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim perlu bertanggungjawab sekiranya kerajaan Madani tumbang.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tindakan itu membuktikan mereka sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR itu malah menjadi subjek utama siasatan jika RCI diwujudkan.

“RCI hanya boleh dibentuk sekiranya Perdana Menteri dan Kabinetnya bersetuju berbuat demikian dengan terma rujukan seperti yang dituntut oleh sembilan Ahli Parlimen PKR tersebut.

“Jika tidak dibuat, ia akan menjadi isu yang memburukkan lagi imej Anwar Ibrahim dan kerajaan pimpinannya. Secara tidak langsung sembilan Ahli Parlimen PKR itu telah meletakkan presiden parti sendiri dalam bahaya,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor berpendapat bahawa sembilan Ahli Parlimen PKR itu telah menimbulkan isu yang sah dan bermerit.

“Isu kehakiman sekarang seperti ‘elephant in the room’. Tindakan kumpulan itu progresif dan radikal serta popular dalam kalangan rakyat, tetapi ada risikonya kepada Anwar Ibrahim.

“Tindakan ini juga menunjukkan terdapat satu pemberontakan yang sedang berlaku di dalam PKR. Ini juga menunjukkan sebahagian Ahli Parlimen PKR sudah hilang sabar, hilang kepercayaan terhadap presiden kerana terlalu banyak kompromi,” jelasnya.

Beliau berkata, Anwar sekarang berada dalam keadaan ‘defensive’ dan imej kerajaan Madani akan menjadi semakin lemah serta hilang integriti, khususnya dengan isu kehakiman yang timbul.

“Tindakan sembilan Ahli Parlimen PKR itu adalah satu cabaran serius dan berani terhadap kepimpinan Anwar, apatah lagi mereka adalah kepimpinan senior dalam parti. Sehubungan itu, sekembalinya Anwar dari lawatan kerja di luar negara, beliau perlu berdepan isu ini dengan bijaksana kerana keadaan kini seperti buku bertemu ruas dalam PKR,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN