TELUK INTAN: Seramai 81 warga Indonesia yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri buah kelapa sawit ditahan menerusi Op Helang Hilir Fasa 2 di sekitar daerah Hilir Perak awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal berkata, tangkapan itu dijalankan menerusi serbuan di 19 buah premis termasuk kebun dan rumah kongsi pekerja di sekitar Langkap, Labu Kubong, Chui Chak dan Teluk Intan.
Katanya, kesemua yang ditangkap itu berusia antara 20 hingga 56 tahun.
“Dalam operasi bermula pada pukul 1 pagi tadi, seramai 56 individu didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah manakala 25 individu pula, permit atau pas lawatannya telah tamat tempoh.
“Siasatan ke atas kesemua tangkapan itu dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri buah kelapa sawit.
“Kesemua mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan esok untuk permohonan reman bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, Op Helang Hilir Fasa 2 adalah kesinambungan kepada usaha bersepadu bagi membanteras jenayah kecurian hasil pertanian serta mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap kecekapan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“PDRM menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak polis demi keselamatan dan kesejahteraan bersama,” katanya. – UTUSAN