50 jurnal kembara abadi kenangan

50 jurnal kembara abadi kenangan

Ng Sock Peng memulakan hobi membuat jurnal kembara sejak sedekad lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kebanyakan individu menjadikan gambar dan video sebagai medium utama untuk merakam kenangan percutian masing-masing.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, berbeza dengan Ng Sock Peng, 45, yang mengabadikan setiap memori indah kembaranya itu menerusi tulisan dan lakaran dalam buku jurnal.

Sejak 2014, anak jati Permatang Pauh ini telah menghasilkan lebih 50 jurnal merangkumi pengembaraannya ke 25 buah negara.

Antara destinasi yang pernah dijejakinya termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Perancis, United Kingdom, Itali, Belgium, Belanda, Jerman dan Greece.

Katanya, ilham untuk menghasilkan jurnal kembara tercetus secara spontan ketika melancong ke Paris bersama seorang sahabat.

“Kami melawat sebuah kedai buku popular di sana, namun pengunjung tidak dibenarkan mengambil gambar premis tersebut.

“Disebabkan tidak mahu memori itu lenyap begitu sahaja, saya nekad melukisnya sebagai kenang-kenangan.

“Tempoh 30 minit diambil untuk menyiapkan lakaran yang serba ringkas itu kerana jujurnya, saya langsung tidak pandai melukis,” katanya kepada Seri.

Walaupun lukisannya tidak begitu cantik, namun rutin mendokumentasikan setiap pengembaraannya tetap diteruskan dengan penuh dedikasi.

Malah, dia turut menyelitkan tiket lawatan, risalah pelancongan dan pelekat-pelekat comel bagi menceriakan halaman jurnalnya.

Kadangkala, pelekat itu bukan sekadar hiasan, tetapi digunakan untuk menyembunyikan lukisan yang tidak menjadi.

Pandemik Covid-19 pada 2021, menjadi titik tolak yang mendorong pengasas laman web pelancongan, mylovelybluesky.com ini untuk belajar melukis.

Pelbagai kelas dan bengkel seni yang dikendalikan tutor dari Malaysia, Taiwan dan Eropah telah diikutinya secara dalam talian.

“Saya fikir inilah masa terbaik untuk menuntut ilmu seni lukis dan setelah setahun berguru, akhirnya saya dapat mengasah bakat itu,” katanya yang turut mahir mewarna.

Sejak itu, dia mula yakin untuk mewarnakan setiap lukisan dalam jurnalnya menggunakan warna air.

Perbezaan ketara yang dapat dilihat ialah ilustrasi dihasilkan kini jauh lebih banyak berbanding sebelumnya yang bergantung pada pelekat semata-mata.

“Bila tengok koleksi jurnal dimiliki, seolah-olah tidak percaya ia adalah hasil kerja tangan sendiri.

“Walaupun bermula dari sifar, tiada yang mustahil jika ada kemahuan dan kesungguhan untuk terus berlatih,” katanya.

Himpun 1,001 cerita, tandatangan

Jurnal yang dihasilkan Sock Peng bukan sekadar catatan pengalaman dan pemerhatiannya terhadap keunikan budaya di setiap destinasi.

Sebaliknya, ia turut menyimpan 1,001 kisah menarik termasuk pertemuan dengan insan-insan budiman yang mewarnai setiap perjalanan.

“Gambar dan video mungkin tidak mampu sepenuhnya menggambarkan pengalaman sebenar saya ketika melancong.

“Tetapi melalui jurnal, saya dapat menterjemahkan setiap momen penting yang dilalui, lengkap dengan emosi dan cerita di sebaliknya.

“Contohnya, layanan mesra seorang pemilik kafe di Macau yang sanggup memberikan kerusi setelah melihat saya melukis di luar premisnya dalam keadaan cuaca yang sejuk.

“Paling istimewa, jurnal ini turut menghimpunkan puluhan tandatangan kru penerbangan, termasuk juruterbang,” katanya.

Coretan dalam jurnal tersebut ditulis dalam Mandarin sebagai usaha memartabatkan bahasa ibundanya.

Katanya, setiap kali mengembara, dia akan mengisi antara separuh hingga senaskhah penuh buku jurnal, bergantung kepada tempoh perjalanan dan pengalaman yang dikutip.

“Bukan semua lokasi yang dilawati saya masukkan dalam jurnal, biasanya saya lebih tertarik mencatatkan hal-hal berkaitan kebudayaan dan warisan

“Contohnya, saya pernah lukis kemeriahan suasana Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) di Sarawak.

“Terbaharu, saya menghasilkan jurnal mengenai taman ekopelancongan atau pusat budaya, Valley of Latte dan pasar malam di Guam,” katanya.

Berkarya dalam kapal terbang

Menurut Sock Peng, proses menyiapkan jurnal kebiasaannya dilakukan ketika dalam penerbangan, di hotel atau selepas pulang ke rumah.

Ia tidak dilakukan secara waktu nyata bagi memastikan tumpuannya tidak terganggu ketika bertugas atau menikmati percutian.

Sehubungan itu, dia akan merakam gambar terlebih dahulu sama ada pemandangan, bangunan, budaya atau makanan tempatan sebelum menghasilkan jurnal.

“Waktu paling tenang untuk berkarya adalah dalam kapal terbang sebab tiada gangguan daripada telefon pintar.

“Sebab itulah saya jarang tidur dalam penerbangan kerana ia merupakan me time untuk saya betul-betul fokus menulis dan melukis jurnal,” katanya.

Sekembalinya ke hotel atau rumah, barulah Sock Peng mewarnakan lukisan dalam jurnal tersebut bagi melengkapkan catatan perjalanannya.

Katanya, bagi trip kembara yang singkat, masa sekitar sejam biasanya sudah mencukupi untuk menyiapkan satu halaman jurnal.

Ia termasuk kira-kira 15 minit untuk melukis dan menulis, manakala selebihnya digunakan untuk proses mewarna.

Selain jurnal, dia turut menghasilkan poskad yang memaparkan lukisannya ketika mengembara.

Menariknya, poskad itu bukan sahaja dihantar kepada diri sendiri sebagai kenangan, malah turut dikirim kepada pengikut bertuah di laman webnya.

“Apabila berada di luar negara, kadang-kadang sukar untuk saya mencari poskad. Kalau ada pun, reka bentuknya kurang menarik dan harganya pula mahal.

“Maka, saya ambil keputusan untuk hasilkan poskad sendiri. Saya akan bawa kad kosong siap-siap dan mula melukis selepas meneliti keunikan budaya negara yang dilawati,” ujarnya.

Eratkan hubungan

Tidak lokek berkongsi ilmu, Sock Peng turut menganjurkan pelbagai bengkel membuat jurnal kembara.

Ia bertujuan menggalakkan lebih ramai mencuba hobi yang menyeronokkan itu.

Pesertanya terdiri daripada pelbagai lapisan usia, termasuk kanak-kanak, golongan dewasa serta seisi keluarga.

“Membuat jurnal bukan hanya untuk merakam kenangan percutian, tetapi juga mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Ibu bapa dan anak-anak boleh menulis serta melukis bersama, sekali gus mengisi masa terluang dengan aktiviti yang berfaedah berbanding leka bermain gajet,” ujarnya.

Katanya, hobi membuat jurnal kembara tidak memerlukan kos yang tinggi kerana peralatan asas yang digunakan hanyalah buku nota, pen kalis air dan warna air.

Justeru, dia turut menggalakkan golongan pengembara untuk berjinak-jinak dalam hobi tersebut bagi mengabadikan pengalaman dengan cara yang lebih kreatif dan bermakna.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN