PETALING JAYA: Sebanyak 41 notis kompaun dikeluarkan terhadap jurugambar jalanan dalam Op Lens yang dijalankan di kawasan tumpuan awam sekitar KLCC di sini semalam.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan berkata, operasi dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan itu dilaksanakan bagi membanteras kegiatan perkhidmatan fotografi tanpa lesen.
Katanya, kompaun berkenaan telah dikeluarkan terhadap individu yang menawarkan perkhidmatan fotografi itu.
“Operasi ini menyasarkan aktiviti fotografi tanpa lesen yang dijalankan secara terbuka di tempat awam, terutamanya di lokasi-lokasi tumpuan seperti KLCC,” katanya.
Tambahnya, pemeriksaan identiti turut dijalankan ke atas individu terlibat bagi mengesan rekod jenayah, kesahihan dokumen pengenalan diri serta status kerakyatan.
Menurut DBKL, tindakan sitaan terhadap peralatan dan barangan akan dikenakan sekiranya aktiviti berkenaan diteruskan secara berulang tanpa kebenaran.
“Pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dijalankan secara berkala bagi memastikan bandar raya kekal selamat, teratur dan harmoni untuk semua,” katanya yang memberitahu tiada sebarang tangkapan dibuat dalam operasi kali ini.
Aktiviti fotografi tanpa lesen di sekitar KLCC menimbulkan rungutan banyak pihak kerana ia menimbulkan risiko keselamatan kepada pengunjung.
Sebahagian jurugambar ini beroperasi di atas laluan jalan raya dan pejalan kaki, sekali gus membahayakan nyawa serta mengganggu kelancaran pergerakan orang awam. – UTUSAN










