PETALING JAYA: Nasib 39 jemaah Malaysia yang terkandas di Jeddah, Arab Saudi kerana menjadi mangsa penipuan ejen umrah palsu akhirnya dibela apabila mereka dijadualkan pulang ke tanah air pada hari ini.
Pengurus Cawangan Utara Hyad Travel Malaysia Sdn. Bhd. (Hyad Travel), Mohd. Firdaus Mat Akhir berkata, kumpulan jemaah yang terkandas sejak 25 Julai lalu dijadual tiba ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Jeddah pada pukul 9 malam dengan menaiki penerbangan Malaysia Airlines (MAS).
“Harga tiket penerbangan 39 individu tersebut berjumlah RM71,000 dan sebuah agensi pelancongan sudah menawarkan khidmat membantu menguruskan tiket penerbangan yang diperlukan.
“Sebagai jaminan agar mereka boleh pulang ke tanah air, saya akan dahulukan wang tersebut berjumlah RM71,000 dan kakitangan Hyad Travel sudah bertungkus lumus sejak Ahad bagi menguruskan perkara itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, media melaporkan jemaah umrah tersebut dari negara ini terkandas di Jeddah gara-gara tiada tiket untuk penerbangan pulang.
Lebih menyedihkan, agensi pelancongan terlibat didakwa bersikap lepas tangan walaupun terdapat jemaah warga emas yang menyertai rombongan tersebut.
Nasib kumpulan jemaah itu mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar yang memberi jaminan bahawa kerajaan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menipu atau memperdaya jemaah apatah lagi melibatkan warga emas dan penjawat awam.
Katanya, pihak beliau akan mengambil tindakan tegas termasuk melalui saluran undang-undang terhadap pihak yang bersekongkol atau bersalah.
Mohd. Firdaus atau lebih dikenali Ustaz Firdaus Firabib berkata, beliau turut mendahulukan RM4,000 bagi kos penginapan tambahan selama satu malam buat kesemua jemaah yang berada di Jeddah.
“Alhamdulillah dengan bantuan dihulurkan, semua 39 jemaah terkandas akhirnya dapat pulang ke pangkuan keluarga,” katanya.-UTUSAN










