38 jemaah terkandas di Jeddah pulang ke tanah air hari ini

38 jemaah terkandas di Jeddah pulang ke tanah air esok

SEKUMPULAN jemaah bersama ahli keluarga mereka dipercayai menjadi mangsa pemalsuan dokumen tiket penerbangan pulang oleh sebuah agensi pelancongan tempatan sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 38 daripada 42 jemaah umrah yang terkandas di Jeddah dijangka dibawa pulang ke tanah air dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MH157) dari Jeddah ke Kuala Lumpur awal pagi esok.

Semalam, empat jemaah sudah pulang ke Malaysia selepas membeli tiket sendiri termasuk warga emas yang pulang bersama ahli keluarga kerana mempunyai janji temu doktor di hospital.

Pengarah Urusan Persada Global Holidays Sdn. Bhd., Shahir Ibrahim berkata, penerbangan itu dijadualkan berlepas pada pukul 9 malam waktu tempatan (2 pagi esok waktu Malaysia) dan pihaknya akan menguruskan jemaah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Ya, semua jemaah akan dibawa pulang sekali gus,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang berurusan dengan syarikat penerbangan untuk menyelesaikan urusan penyediaan tiket penerbangan bagi membawa pulang semua jemaah yang terkandas.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kerajaan memandang serius nasib 42 jemaah umrah yang dilaporkan terkandas di Jeddah sejak 25 Julai lalu.

Katanya, beliau tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menipu atau memperdaya jemaah lebih-lebih lagi melibatkan warga emas dan penjawat awam termasuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bersekongkol atau bersalah.

Pada masa sama, Kerajaan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Arab Saudi sedang memberikan perhatian penuh dan mengatur langkah segera bagi memastikan kebajikan serta keselamatan semua jemaah terjamin termasuk usaha membawa mereka pulang ke tanah air dengan selamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN