20 inovator sosial bakal terima peruntukan lebih RM6 juta

20 inovator sosial bakal terima peruntukan lebih RM6 juta

SHARMILA Mohamed Salleh memperkatakan sesuatu kepada Tuminah Kadi sewaktu melawat pembuatan kuih tradisional inang-inang di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) akan memilih 20 inovator sosial daripada lebih 900 permohonan yang diterima untuk penyaluran peruntukan sebanyak RM6.725 juta tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Sharmila Mohamed Salleh berkata, peruntukan itu adalah menerusi MySis Komuniti sebanyak RM3 juta serta Inovasi Akar Umbi (MaGRis) dan Ruang Daya Cipta (RDC) bernilai RM1.7 juta.

Katanya, jawatankuasa teknikal akan menilai semua permohonan sebelum 20 calon dibawa ke jawatankuasa pemandu bagi memutuskan peruntukan yang bakal diberikan antara RM50,000 hingga RM300,000.

Beliau berkata, inovator dipilih berdasarkan inovasi sosial yang memberi impak kepada ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Katanya, sejak diperkenalkan pada 2015 di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), lebih 200,000 inovator telah mendapat manfaat menerusi jumlah geran melebihi RM50 juta.

“Tidak kisah lah produk apa sekali pun tetapi ia mesti mempunyai inovasi terbaik menepati kriteria yang ditetapkan oleh YIM.

“Kita sangat komited mencungkil lebih banyak inovasi sosial dengan mandat mencari, membangun dan memadankannya dengan dana pembangunan. Peruntukan yang diberikan bukan secara tunai tetapi dalam bentuk peralatan, latihan, khidmat nasihat dan laporan impak yang lengkap.

“YIM menjalankan projek perintis untuk membantu inovator sosial di akar umbi mengkomersialkan produk mereka dan menjadikan perniagaan mereka lebih mampan,” katanya ketika ditemui selepas Program Jejak Inovasi Sosial Zon Selatan di Pantai Kundor di sini, hari ini.

Sharmila bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi meninjau empat produk inovasi iaitu pembuatan kuih tradisional inang-inang di Kampung Paya Luboh, pembuatan bot gentian kaca di Kampung Gelam, produk ikan kering di Kampung Balik Bukit dan cadangan ternakan ketam nipah serta kupang di Jeti Nelayan Sungai Lereh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN