PETALING JAYA: Dua individu termasuk seorang penjawat awam direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kedah selepas disyaki menyalahgunakan kedudukan berhubung kerja pembersihan bernilai RM300,000.
Ia berkaitan cadangan dan bersubahat dengan sebuah syarikat penyelenggaraan dan pembersihan.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia 30-an itu ditahan antara pukul 11 pagi hingga 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM, Kedah.
“Kedua-dua suspek disyaki telah melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2020 dan 2021.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek bersubahat di mana suspek utama yang merupakan seorang penjawat awam telah menyalahguna kedududukannya bagi membolehkan kedua-duanya mendapat keuntungan daripada syarikat yang dilantik,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Terdahulu, Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali membenarkan kedua-dua suspek direman selama lima hari sehingga 6 Julai 2025 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi tadi. – UTUSAN