KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memperluas budaya membaca dan menghayati al-Quran melalui penganjuran kempen Al-Quran Di Mana-Mana dengan penyertaan seramai 100 orang menaiki perkhidmatan tren elektrik (ETS) ke Hatyai, Thailand.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, program itu merupakan sebahagian daripada usaha mempromosi Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-65.
Katanya, kempen itu juga mengetengahkan pendekatan mesra masyarakat dan bersifat inklusif bagi mendekatkan umat Islam dengan al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Ini adalah acara tahunan. Cuma kelainan pada tahun ini, promosinya agak diluar daripada pemikiran biasa iaitu dalam ETS.
“Promosi ini sebagai penyebab program ini dilaksanakan. Ia nak menggambarkan kepada umat Islam bahawa dalam mengisi kekosongan dan waktu yang ada, adalah digalakkan untuk kita membaca Quran,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Pelepasan Peserta Program Al-Quran Di Mana-Mana 2.0: Kuala Lumpur-Hatyai.
Dengan penyertaan 100 pelajar yang ditempatkan di dua koc, tren tersebut berlepas dari Kuala Lumpur Sentral pada pukul 9.55 pagi dan dijangka tiba di Padang Besar pada 3.10 petang.
Perjalanan itu kemudian disambung dengan perkhidmatan State Railway of Thailand (SRT), merentas sempadan antara Malaysia dan Thailand, yang berakhir di Hatyai.
Sirajuddin berkata, kempen itu akan diteruskan dengan segmen kedua yang akan diadakan di Bukit Bintang bermula 8 malam pada 31 Julai ini.
“Ia melambangkan peluasan budaya membaca al-Quran ke jantung kota raya Kuala Lumpur, sekali gus membawa mesej bahawa al-Quran wajar diangkat sebagai panduan hidup yang dekat dengan masyarakat, tanpa mengira masa atau tempat
“Inisiatif ini bertujuan mencetuskan kesedaran baharu yang segar, inklusif dan terbuka agar budaya membaca serta menghayati al-Quran diamalkan secara santai tetapi sarat nilai rohani di tengah hiruk-pikuk kehidupan moden,” katanya.
Seruan turut diberikan kepada orang ramai untuk berkongsi momen membaca al-Quran di mana-mana di media sosial menggunakan tanda pagar rasmi: #AlQuranDiManaMana, #MTHQA65 dan #MTHQA2025, sebagai usaha menyemarakkan kempen ini secara lebih meluas. – UTUSAN










