Zico sertai projek Ikonik m-flo - Utusan Malaysia

Zico sertai projek Ikonik m-flo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Penyanyi rap dan produser terkenal Korea Selatan, Zico mengukuhkan pengaruhnya di persada muzik antarabangsa apabila dipilih menyertai projek ulang tahun ke-25 kumpulan ikonik Jepun, m-flo.

Menerusi kenyataan rasmi KOZ Entertainment, Zico mengesahkan penglibatannya dalam siri kolaborasi terkenal m-flo iaitu ‘loves’ series, yang menyatukan pelbagai artis merentas genre dan budaya sejak awal tahun 2000.

Single baharu berjudul EKO EKO yang bakal dilancarkan 18 Jun ini pukul 12 malam turut menampilkan penyanyi dan penulis lagu Jepun, eill, menjadikan satu gabungan trio muzik yang unik dan dinanti-nantikan.

Kerjasama tersebut diumumkan m-flo menerusi media sosial pada 14 Jun lalu, lengkap dengan foto Zico, VERBAL, Takui dari m-flo dan eill yang mencetus keterujaan dalam kalangan peminat antarabangsa.

“Projek ini merupakan gabungan rentas genre dan bahasa yang cukup istimewa. Kami benar-benar memberi sentuhan ikhlas dalam pembikinannya,” kata pihak m-flo.

Zico yang dikenali dengan gaya eksentrik dan kebijaksanaan muziknya meluahkan rasa terharu kerana diberi peluang menjadi sebahagian daripada projek tersebut.

“Saya membesar dengan karya-karya m-flo. Menyertai album mereka adalah satu penghormatan besar. Saya harap lagu ini dapat dinikmati semua peringkat usia dan peminat pelbagai genre,” ujarnya.

Untuk rekod, siri ‘loves’ sebelum ini pernah menyaksikan kolaborasi dengan bintang Korea seperti BoA menerusi lagu The Love Bug (2004) dan Wheesung dengan lagu Love Me After 12AM (2006).

Tahun 2025 ternyata menjadi medan kejayaan buat Zico yang sebelum ini tampil dalam beberapa projek kolaborasi lain termasuk bersama ASH ISLAND menerusi lagu It’s Okay serta Giriboy dalam My Job is Cool. 

Zico juga bertindak sebagai penerbit eksekutif untuk mini album keempat kumpulan BOYNEXTDOOR berjudul No Genre.

Dengan ‘EKO EKO’, Zico bukan sekadar melakar nama di pentas Asia, malah mengukuhkan posisinya sebagai antara figura paling berpengaruh dalam muzik kontemporari hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN