WALES: Sebuah perpustakaan bersejarah di bandar popular di Wales bakal diubah menjadi masjid selepas kumpulan Kristian menarik balik tindakan undang-undang.
Ketua majlis buruh bersetuju dengan pajakan selama 30 tahun untuk menukar bangunan bersejarah itu menjadi masjid pertama di Abergavenny, selepas ia tidak digunakan selama 10 tahun.
Bagaimanapun, aktivis mengkritik rancangan itu kerana membenarkan ‘bangunan awam yang sangat penting’ dipajak dengan kadar sewa rendah di bandar Selatan Wales, terkenal sebagai ibu kota makanan.
Bandar tersebut kini menjadi destinasi pelancongan popular untuk penggemar makanan, terkenal dengan Festival Makanan Abergavenny yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Awal tahun ini, bangunan yang disenaraikan gred II itu menjadi sasaran grafiti perkauman ‘tiada masjid’.
Bangunan batu itu merupakan bekas Perpustakaan Carnegie, dibina pada 1905 dengan geran sebanyak 4,000 pound (RM22,489) daripada dana yang ditubuhkan oleh jutawan besi kelahiran Scotland-Amerika, Andrew Carnegie.
Tiga ahli majlis dan seorang penduduk mengancam tindakan udang-undang, yang disokong oleh Pusat Perundangan Kristian.
Mereka menentang pajakan tahun berjumlah 6,000 pound (RM33,733) untuk Persatuan Komuniti Muslim Monmouthshire di bandar itu.
Namun, pihak majlis menyatakan tindakan undang-undang tersebut ditarik balik.
Majlis Daerah Monmouthshire berkata, pihaknya menerima pengesahan semakan kehakiman itu tidak akan diteruskan.
Kabinet Buruh Monmouthshire pada Mei lalu bersetuju menyewakan bangunan tersebut kepada Persatuan Komuniti Muslim, yang sebelum ini mengadakan perjumpaan di dewan Gereja Katolik Abergavenny, kerana ia tidak lagi digunakan sejak November tahun sebelumnya.- AGENSI










