SEREMBAN: Seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret Seremban hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes 47 jemaah warga emas Malaysia yang ditipu ejen haji tempatan.
Perintah reman sehingga 20 Jun itu dikeluarkan Majistret Fairuz Shuhada Amran bagi membolehkan suspek disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Terdahulu, suspek tiba di Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 9 pagi dengan menaiki kereta polis.
Semalam, media melaporkan hasrat 47 jemaah warga emas Malaysia untuk menunaikan haji berkecai apabila ditipu ejen haji tempatan dipercayai membabitkan seorang agamawan.
Dilaporkan kesemua warga emas itu dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Mekah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tiada visa haji.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam susulan laporan polis yang dibuat oleh waris mangsa di Mantin.
“Mangsa terdiri daripada sepasang suami isteri dan anak perempuan mereka. Siasatan awal mendapati mereka mengalami kerugian sebanyak RM81,000 dengan setiap seorang daripada mereka telah membayar RM27,000 kepada suspek bagi menyertai pakej haji yang ditawarkan,” katanya.
Menurut beliau, polis kini giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada penipuan tersebut dilakukan secara individu atau membabitkan syarikat tertentu.
Dzaffir juga tidak menolak kemungkinan terdapat lebih ramai mangsa yang terlibat dalam skim penipuan ini dan menegaskan siasatan akan diperluaskan untuk mengenal pasti jumlah sebenar mangsa serta modus operandi yang digunakan.
“Orang ramai yang pernah berurusan dengan suspek atau menjadi mangsa kepada skim penipuan pakej haji yang serupa diminta tampil ke hadapan untuk membuat laporan bagi membantu siasata,” katanya sambil memaklumkan beberapa saksi akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan. – UTUSAN