PUTRAJAYA: Dua lokasi di Jalan Ipoh dan Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur diserbu dengan 13 warga asing ditahan kerana menjalankan aktiviti menguruskan ‘homestay’ atau inap desa di negara ini dengan menyewa daripada pemilik rumah warganegara tempatan.
Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Ismail Mokhtar berkata, kesemua warganegara asing yang ditahan itu dipercayai sebagai ‘ejen homestay’ berusia di antara 24 tahun hingga 40 tahun menerusi satu operasi khas yang dijalankan kelmarin.
Katanya, berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan sembilan lelaki dan seorang perempuan warganegara Bangladesh, warganegara India dan warganegara Filipina serta seorang lelaki warganegara Indonesia.
“Semakan awal mendapati, tiga lelaki warganegara Bangladesh, seorang lelaki warganegara Indonesia, seorang perempuan warganegara Bangladesh dan warganegara India memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di bawah Sektor Pembinaan dan Sektor Pembersihan.
“Manakala warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail berkata, berdasarkan modus operansi mereka, pelanggan akan membuat pesanan homestay secara dalam talian dan akan diuruskan oleh warganegara asing ini.
Katanya, bayaran yang dikenakan adalah di antara RM80 hingga RM400 untuk satu malam mengikut saiz bilik.
“Aktiviti homestay ini dipercayai telah beroperasi selama setahun.
“Pasukan operasi telah menyita salinan perjanijian sewa, empat naskhah pasport Bangladesh, masing-masing satu naskhah pasport Indonesia dan India dan 48 kad akses.
“Turut disita satu unit komputer riba, tiga unit telefon bimbit, borang maklumat tetamu homestay, wang tunai berjumlah RM74,000 dan AS$2,160,” katanya.
Ismail berkata, mereka yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Per.39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 selain kesalahan di bawah Sek.6(3) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, kesemua warganegara asing yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
“Manakala enam warganegara tempatan dan satu lelaki warganegara Bangladesh telah diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN










