IPOH: Seorang wanita warga emas ditemukan maut dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Raja Abdullah, Kampung Sungai Rapat Tambahan di sini malam tadi.
Mayat mangsa dikenali sebagai Salmiah Nyak Matt berusia 84 tahun itu ditemukan di bilik tingkat bawah rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, maklumat kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat itu diterima pada pukul 9.19 malam.
Katanya, dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 83 tahun berjaya diselamatkan dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.
“Empat ahli keluarga lain berusia antara 18 hingga 49 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. Kes diklasifikasikan di bawah siasatan mati mengejut,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN