IPOH: Seorang wanita parah selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pangsapuri di Jalan Lim Bo Seng, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 12.21 tengah hari.
Katanya, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh segera diatur gerak ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Setibanya anggota di lokasi kejadian, didapati seorang wanita berusia 20 tahun telah terjatuh dari balkoni belakang di tingkat tujuh sebuah pangsapuri.
“Wanita itu bagaimanapun ditemukan di ruangan kompresor penghawa dingin di tingkat dua. Mangsa mengalami kecederaan yang serius selain patah paha dan luka di badan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang cedera dibawa ke tempat selamat menggunakan pengusung dan diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan.
“Mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. Operasi tamat pada pukul 1.20 petang,” katanya. – UTUSAN