GAZA: Apa jua keputusan yang diambil Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu terhadap perangnya menentang Hamas, persoalan yang timbul kini bukan lagi tentang masa depan penduduk Gaza yang sudah pun dirundung kesengsaraan.
Tetapi mata masyarakat dunia kini tertumpu pada ‘kekebalan’ pentadbiran Netanyahu walaupun berdepan kecaman masyarakat antarabangsa dan penduduk sendiri.
Dalam usaha mempertahankan kedudukannya yang kian goyah akibat siasatan rasuah, Netanyahu sanggup melakukan apa sahaja, apatah lagi dengan sokongan penuh sekutu kuatnya, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Sama ada langkah yang diambil menguntungkan Israel atau membawa padah, Gaza tetap terus merana.
Trump, pada Selasa berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai sebarang rancangan Netanyahu untuk menduduki seluruh Gaza, namun menegaskan keputusan itu adalah hak Israel sepenuhnya.
Wujud ketegangan dalaman
Laporan media mendedahkan, wujudnya perbezaan pendapat serius antara pemimpin politik dan tentera berhubung pendudukan penuh ke atas Semenanjung Gaza.
Media Israel melaporkan, rancangan Kabinet Netanyahu untuk menduduki keseluruhan wilayah Gaza mendapat tentangan keras daripada Ketua Turus Tentera, Leftenan Jeneral Eyal Zamir.
Dalam satu mesyuarat keselamatan selama tiga jam pada Selasa, Zamir memberi amaran pendudukan penuh seakan mengheret anggota tentera Israel masuk ke dalam ‘perangkap maut’.
Menurut laporan Kan, pihak tentera menjangkakan puluhan anggotanya mungkin terbunuh dan ramai lagi cedera jika operasi itu diteruskan.
Setakat ini, jumlah korban tentera Israel dalam serangan darat ke atas Gaza serta operasi di sempadan mencecah 459 orang, termasuk dua pegawai polis dan tiga kontraktor Kementerian Pertahanan.
Pasukan tentera Israel turut memberi amaran pendudukan penuh akan membahayakan nyawa lebih 20 tebusan yang masih berada di Gaza, termasuk mayat 27 lagi yang disahkan meninggal dunia.
Malah sehingga kini, tentera rejim dilaporkan mengelak untuk beroperasi di kawasan yang dipercayai menempatkan tebusan.
Zamir dilaporkan mencadangkan pendekatan lebih beransur-ansur, termasuk mengepung kawasan-kawasan tumpuan Hamas seperti Gaza City, namun cadangan itu ditolak oleh Netanyahu yang mahu perancangan untuk pendudukan disediakan segera.
Ketua Pembangkang, Yair Lapid menyuarakan bantahan keras terhadap cadangan menduduki Gaza dan menyifatkan langkah itu sebagai idea yang sangat buruk dari segi operasi, moral, dan ekonomi ketika menghadiri taklimat keselamatan bersama Netanyahu.
Lapid berkata, penduduk Israel sendiri tidak lagi menyokong peperangan ini dan menyarankan negara-negara Arab diberikan peranan untuk mentadbir Gaza, agar rejim itu dapat menumpukan usaha menghapuskan Hamas tanpa perlu menanggung beban pentadbiran wilayah itu.
Rakyat Gaza terus merana
Semalam, tentera Israel dilaporkan meneruskan serangan ke atas sasaran Hamas di kawasan Sheikh Radwan di Gaza City menggunakan peluru berpandu.
Regimen Artileri ke-215 turut menyerang lokasi pelancaran mortar di utara Gaza yang didakwa digunakan untuk menyerang kem tentera Israel.
Dalam operasi lain, unit Briged Perisai ke-401 melancarkan serangan dron ke atas kem yang didakwa milik kumpulan pejuang, membunuh 10 rakyat Palestin.
Tentera Israel turut mengeluarkan arahan pemindahan kepada penduduk Gaza City dan Khan Younis pada Rabu, menegaskan akan mengembangkan skop operasi tempur di kawasan tersebut.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Israel (IDF), Kolonel Avichay Adraee memaklumkan, zon pemindahan itu tidak akan lagi menerima jeda kemanusiaan harian untuk agihan bantuan.
Dunia juga kini semakin gusar dengan krisis kemanusiaan yang parah apabila Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) mengesahkan hanya 1.5 peratus tanah pertanian Gaza yang masih boleh digunakan, kurang daripada 1.6 kilometer persegi.
“Gaza kini berada di ambang kebuluran berskala besar. Rakyat kelaparan bukan kerana makanan tiada, tetapi kerana akses disekat, sistem makanan tempatan musnah dan keluarga hilang punca pendapatan,” kata Ketua Pengarah FAO, Qu Dongyu.
Agensi Pertahanan Awam Gaza melaporkan, sekurang-kurangnya 22 orang maut apabila sebuah trak bantuan terbalik di tengah Gaza semasa orang ramai berebut untuk mendapatkan makanan.
Jurucakap agensi tersebut, Mahmud Bassal menyalahkan tentera Israel yang didakwa memaksa trak tersebut mengambil laluan yang rosak akibat pengeboman selepas menghalang laluan selamat untuk penghantaran bantuan.
Sejak akhir Mei, Israel mula melonggarkan sekatan bantuan yang dikenakan sejak Mac namun PBB menyifatkan jumlah bantuan yang dibenarkan masuk masih terlalu sedikit.
Pada Rabu, 107 palet bantuan makanan seberat kira-kira satu tan setiap satu dihantar ke Gaza melalui udara oleh pesawat dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jordan, Jerman, Belgium dan Perancis.
Imej menyayat hati rakyat Gaza yang kelaparan, termasuk kanak-kanak yang kurus kering terus mencetuskan tekanan antarabangsa agar lebih banyak bantuan dibenarkan masuk. – AFP/AGENSI










