Cukai tembakau naik

Cukai tembakau naik

ANWAR Ibrahim dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 di Kementerian Kewangan, Putrajaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan menaikkan kadar cukai tembakau selaras dengan komitmen negara terhadap kesihatan awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu juga berikutan telah lama tiada semakan semula terhadap kadar cukai berkenaan.

Kali terakhir cukai tembakau dinaikkan adalah pada September 2014.

“Saya setuju dengan sema­ngat. Bukan sahaja kerana saya tidak merokok tetapi kerana adanya kempen antimerokok,” katanya ketika ditemui pembe­rita selepas menghadiri Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 di Kementerian Kewangan di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan sedang meneliti langkah menaikkan kadar cukai tembakau dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada Oktober ini.

Menurut kalender Parlimen, Belanjawan 2026 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober ini.

Kadar cukai tembakau sebagai peratusan daripada harga runcit di Malaysia ketika ini ialah 58.6 peratus dan negara tidak mempunyai mekanisme tetap untuk pelarasan berkala atau penilaian semula kadar cukai tersebut.

Sebelum ini, ada cadangan agar kadar cukai itu dinaikkan kepada antara 60 hingga 75 pera­tus.

Ketika mengumumkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) minggu lalu, Anwar menyatakan bahawa kerajaan akan memperluaskan pelaksanaan cukai berasaskan kesihatan bukan sahaja ke atas produk bergula, tetapi juga terhadap tembakau, vape, dan alkohol.

Katanya, perluasan cukai ini bukan sahaja bertujuan menambah hasil negara, lebih penting untuk menggalakkan perubahan tingkah laku dan membendung peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin membimbangkan.

NCD sering dikaitkan de­ngan gaya hidup tidak sihat dan merangkumi penyakit seperti serangan jantung, angin ahmar, diabetes dan kanser.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Belanjawan 2026 akan memberi keutamaan kepada program-program yang menyantuni masalah rakyat, dengan pendekatan libat urus yang melibatkan masyarakat sivil, sektor swasta dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC).

Menurutnya, maklum balas daripada sektor swasta amat memberangsangkan, khususnya terhadap inisiatif Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat, di mana syarikat-syarikat besar tampil menaja kemajuan komuniti secara langsung.

“Kita cadangkan 1,000 sekolah angkat diambil oleh syarikat swasta dan GLIC. Setakat ini, sasaran itu telah tercapai. Ada juga kampung yang beli dron, ikan, lembu, malah traktor, semua ini hasil daripada mereka sendiri menguruskan dana yang diberi,” jelas beliau.

Melalui inisiatif Sejahtera Madani, setiap kampung, Felda dan komuniti miskin bandar diberikan peruntukan RM100,000 dengan autonomi penuh untuk mengurus dan melaksanakan projek mengikut keperluan tempatan.

“Kita beri dana, tapi keputusan sepenuhnya diserahkan kepada jawatankuasa kampung belia, wanita, surau. Pengurusan wang itu lebih bertanggungjawab, ini cara memberi makna program jabatan kerajaan (mengikut keperluan rakyat),” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pelaksanaan program tahun pertama di bawah Belanjawan 2026 perlu selari dengan kerangka besar RMK13, khususnya dalam menaikkan lantai dan mengawal siling supaya pertumbuhan ekonomi tidak meninggalkan golongan rentan.

Beliau berkata, pendekatan ‘lantai dan siling’ merupakan prinsip asas dalam memastikan strategi pembangunan negara memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat, bukan sekadar angka pertumbuhan atau jumlah pelaburan semata-mata.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan kerajaan akan memastikan Belanjawan 2026 bukan sahaja bersifat realistik dari segi fiskal, tetapi juga berjiwa rakyat, menumpukan kepada pembelaan masyarakat, memperkasa ekonomi tempatan dan menjana keyakinan masa depan.

“Kalau kita hanya bicara soal pertumbuhan dan pelaburan tanpa memikirkan soal lantai, ia menjadi masalah. Harga barang tak akan susut, malah naik. Jadi, kalau gaji rakyat tak naik setimpal, tekanan kos sara hidup akan terus membebankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN