Dalam arus perkembangan muzik tempatan, terdapat satu gerakan yang semakin menonjol dalam kalangan kumpulan muzik ‘bawah tanah’ di Malaysia, khususnya dalam genre metal.
Uniknya, banyak daripada kumpulan ini tidak sekadar bermain muzik ekstrem untuk hiburan semata-mata, tetapi menghasilkan karya untuk mengetengahkan folklor, mitos, sejarah dan nilai budaya melayu serta nusantara secara mendalam.
Dalam era globalisasi yang sering menyaksikan peminggiran budaya tempatan, fenomena ini bukan sahaja wajar diberi perhatian, tetapi perlu disokong secara aktif oleh kerajaan serta penerimaan ruang oleh media arus perdana sebagai satu bentuk ekspresi budaya moden, berani dan bermakna.
1. Pelestarian budaya dan warisan melalui medium alternatif
Kumpulan metal ‘bawah tanah’ yang mengetengahkan elemen mitologi dan sejarah Melayu sebenarnya menjalankan peranan penting dalam melestarikan warisan budaya. Dalam dunia di mana cerita rakyat, hikayat dan epik lama semakin tenggelam ditelan zaman, mereka tampil sebagai ‘penjaga naratif’ dengan menukarkan kisah-kisah ini ke dalam bentuk yang moden, puitis serta menggugah jiwa.
Contohnya, Legenda Puteri Saadong, Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa atau semangat pahlawan Melayu seperti Mat Kilau yang sering dijadikan inspirasi dalam lirik dan konsep album mereka.
Berbanding hanya bersandarkan bahan bacaan akademik atau teater klasik, muzik metal membawa pendekatan kontemporari yang lebih dekat dengan generasi muda yang cenderung kepada bunyi moden dan ekspresi visual kreatif. Dalam erti kata lain, mereka menghidupkan kembali cerita-cerita lama untuk khalayak baharu.
2. Penjenamaan budaya nasional dalam industri muzik global
Sokongan terhadap kumpulan metal yang membawa elemen nusantara juga penting dari segi diplomasi budaya dan penjenamaan identiti nasional. Genre metal mempunyai komuniti global yang kukuh, malah negara seperti Indonesia telah berjaya memasarkan kumpulan seperti Burgerkill, Jasad ke pasaran antarabangsa dengan identiti lokal yang kuat.
Malaysia sepatutnya tidak ketinggalan dalam meletakkan band-band seperti Langsuir, Sil Khannaz, Sabrum atau Tasyim di pentas dunia sebagai pembawa naratif melayu, mitos tempatan dan falsafah timur dalam bentuk muzik berat.
Untuk merealisasikan hal ini, kerajaan perlu menyediakan geran persembahan antarabangsa atau dana mobiliti budaya khas kepada kumpulan-kumpulan ini agar mereka dapat mewakili Malaysia di festival muzik luar negara seperti Wacken Open Air di Jerman dan beberapa lagi festival muzik kelas pertama di Eropah. Pendedahan ini bukan sahaja membuka pasaran baharu, tetapi turut menjadikan seni Malaysia dikenali secara unik dan berwibawa.
3. Dokumentasi dan arkib budaya alternatif
Gerakan muzik ‘bawah tanah’ di Malaysia, terutama yang bersifat budaya dan tematik seperti ini sering tidak didokumentasikan dengan baik. Hal ini menyebabkan banyak sumbangan mereka dalam membentuk identiti seni kontemporari negara hilang ditelan masa. Justeru, usaha mendokumentasi karya, persembahan, dan sejarah kumpulan ini perlu dimulakan secara sistematik melalui program arkib budaya, projek penyelidikan seni dan penerbitan ilmiah.
Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) boleh bekerjasama dengan institusi akademik dan organisasi seni untuk menerbitkan dokumentari, buku, pameran atau pangkalan data digital berkaitan pergerakan metal tempatan yang berasaskan folklor. Ini akan membolehkan generasi masa depan memahami perkembangan muzik dan budaya dalam konteks yang lebih luas serta menghargai bentuk ekspresi seni alternatif sebagai sebahagian daripada sejarah budaya negara.
4. Menyemai nilai nasionalisme dan kesedaran sejarah
Karya-karya muzik metal yang menampilkan elemen sejarah, perjuangan dan identiti Melayu bukan sahaja bersifat seni, tetapi juga sarat dengan nilai patriotik dan kesedaran jati diri. Dalam lirik mereka terkandung semangat menentang penjajahan, kebangkitan maruah bangsa, dan penghargaan terhadap kebijaksanaan nenek moyang.
Berbanding budaya import yang melalaikan, muzik seperti ini secara tidak langsung mendidik generasi muda agar lebih menghargai akar sejarah mereka, sekali gus menyemai semangat nasionalisme secara tidak konvensional tetapi berkesan.
5. Memecah stereotaip dan membangunkan ekosistem seni yang inklusif
Kumpulan metal sering berhadapan dengan stereotaip negatif seperti dianggap keras, ganas, atau tidak sopan. Namun, persepsi ini perlu diperbetulkan dengan pendekatan inklusif oleh media arus perdana. Hakikatnya, banyak kumpulan ini mengangkat nilai moral, perjuangan, dan estetika budaya dalam karya mereka. Oleh itu, media arus perdana perlu memberi ruang adil kepada mereka melalui program hiburan, dokumentari seni, ulasan album, atau liputan persembahan, sama seperti genre lain yang lebih popular.
Pengiktirafan ini juga akan membantu mengembangkan ekosistem seni alternatif yang lebih sihat, pelbagai dan terbuka, di mana suara-suara dari luar arus utama diberi peluang menyumbang secara konstruktif dalam pembinaan budaya nasional.
Band metal underground di Malaysia yang memperjuangkan folklor melayu dan nusantara bukan sekadar kelompok pemuzik bebas tetapi sebenarnya pembawa obor budaya moden yang patut dihargai.
Mereka menjadikan muzik sebagai saluran untuk mengekspresikan identiti, mempertahankan warisan dan menyemarakkan semangat kebangsaan.
Justeru, mereka perlu disokong oleh kerajaan melalui dana, pengiktirafan rasmi, ruang media, dan dokumentasi sistematik agar perjuangan seni mereka tidak tenggelam, sebaliknya menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.
Dr. Rosmi Yuhasni Mohamed Yusuf adalah Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam Selangor.