PETALING JAYA: United Overseas Bank (UOB) mengumumkan penglibatan utamanya dalam salah satu transaksi pembiayaan pusat data terbesar di Asia Tenggara, melibatkan pinjaman dwi mata wang bernilai RM15 bilion.
Pembiayaan itu menyokong pembangunan pusat data hiperskala DayOne yang terletak di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), sekali gus memperkukuh sambungan digital serantau dan memacu transformasi digital mampan di ASEAN.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei, kerjasama strategik tersebut mencerminkan komitmen bank terhadap pembangunan infrastruktur digital yang mampan di seluruh rantau.
“Dengan pembiayaan bersama pusat data DayOne di JS-SEZ, kami bukan sahaja menyokong ekonomi digital Malaysia, tetapi turut memperkukuh tulang belakang yang membolehkan perniagaan kedua-dua negara terus berkembang dalam era digital.
“Kami kekal komited menyokong dan membangunkan JS-SEZ sebagai koridor ekonomi strategik yang meningkatkan kontinuiti serantau dan memacu pertumbuhan mampan,” katanya dalam suatu kenyataan.
Katanya lagi, transaksi pembiayaan itu turut menjadikan kemudahan Islam hijau bersindiket tersebut sebagai yang terbesar pernah direkodkan di Malaysia, dengan UOB bertindak sebagai penyelaras bersama, pengatur utama bermandat, penaja dan pelaksana buku bersama enam institusi kewangan terkemuka lain.
“DayOne yang beribu pejabat di Singapura merupakan pemain utama dalam pembangunan platform infrastruktur digital global. Kehadiran mereka semakin meluas merangkumi hab pusat data utama seperti Johor, Batam, Greater Bangkok, Hong Kong dan Tokyo,” katanya.
Wei Wei berkata, pembangunan pusat data baharu di JS-SEZ dilihat sebagai jambatan penting antara ekosistem digital Malaysia dan Singapura, meletakkan ASEAN sebagai destinasi utama untuk pengkomputeran awam dan perkhidmatan digital.
“Sokongan UOB terhadap DayOne telah bermula sejak pembangunan awal pusat data pertama syarikat itu di Shenzhen, China pada 2015, menandakan hubungan jangka panjang yang berterusan dalam memperkasa ekosistem digital seranta,” katanya.
Yang turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bersama wakil DayOne, UOB dan institusi kewangan lain. – UTUSAN