Suspek tikam anggota polis di Pasar Pudu sudah ditahan

Suspek tikam anggota polis di Pasar Pudu sudah ditahan

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suspek yang menikam anggota polis sehingga parah ketika menjalankan tugas rondaan cegah jenayah di Pasar Pudu, Jalan Yew dekat sini, hari ini sudah ditahan polis.

Penahanan suspek berusia 56 tahun itu turut menemukan sebilah pisau.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan berkata, turut dirampas tiga peket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana suspek dengan sengaja cuba membunuh menggunakan senjata serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Suspek akan direman esok untuk siasatan lanjut,” katanya hari ini.

Mohamed Usuf berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama empat anggota lain sedang menjalankan pemeriksaan ke atas suspek.

“Mangsa ditikam di perut menggunakan pisau sebelum (suspek) melarikan diri.

“Anggota polis yang parah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, orang awam yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan lanjut dengan menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Mohd. Firdaus Sharil di talian 012-3388164.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115999 atau Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 dan mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) cedera pada bahagian perut akibat ditikam seorang lelaki berhampiran Pasar Pudu.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari ketika anggota Balai Polis Pudu itu sedang melakukan tugasan rondaan cegah jenayah di kawasan terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN