PETALING JAYA: UMNO akan meneliti undang-undang berkaitan Akta Anti-Lompat Parti khususnya melibatkan Ahli Dewan Negara atau Senator bagi memastikan sebarang langkah seterusnya selaras dengan undang-undang serta tidak melanggar peraturan sedia ada.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, UMNO menghormati kebebasan setiap individu membuat pilihan politik namun perlu ditegaskan bahawa perwakilan dalam Jemaah Menteri disandang adalah atas mandat parti yang diwakili bukan atas kapasiti peribadi.
Katanya, setiap menteri yang dilantik tetap mewakili parti masing-masing secara rasmi walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Majlis Perpaduan.
“Sehubungan itu, Biro Undang-Undang UMNO telah diminta meneliti implikasi Akta Anti-Lompat Parti, termasuk kedudukan seorang Senator bagi memastikan semua tindakan selanjutnya mematuhi kerangka perundangan.
“Saya menyeru ahli dan penyokong agar kekal fokus kepada pembangunan negara. Politik individu boleh berubah, tetapi perjuangan parti demi agama, bangsa dan negara harus kekal,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Tengku Zafrul telah menghantar surat peletakan jawatan kepada pucuk pimpinan UMNO kerana mahu untuk menyertai PKR.
Perkara itu disahkan sendiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan telah menerima surat rasmi berhubung peletakan jawatan Tengku Zafrul.-UTUSAN










