Naib Ketua UMNO Permatang Pauh meninggal duhia di Mekah

Naib Ketua Bahagian UMNO Permatang Pauh meninggal dunia di Mekah

UMNO
ALLAHYARHAM NORAZAMUDDIN AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: “Lewat petang semalam (maghrib) saya ada bercakap dengan arwah melalui panggilan video dari sana (Mekah). Dia beritahu teringin hendak ke Gua Hira, tetapi, tidak larat untuk berjalan.”

Itu kata Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said ketika ditanya mengenai perbualan terakhirnya dengan Naib Ketua UMNO Bahagian itu, Norazamuddin Ahmad, 56, yang meninggal dunia di Tanah Suci, malam tadi.

Menurut Mohd. Zaidi, Norazamuddin atau lebih mesra disapa sebagai Azam bagaimanapun dilaporkan terjatuh ketika selesai melakukan tawaf di sana sebelum disahkan meninggal dunia.

“Saya sempat berbual dengan arwah kira-kira pukul 7 lebih (waktu Malaysia) dan dia disahkan meninggal dunia pukul 9 malam. Selang dua jam sahaja. Memang tak sangka sebab masa ‘video call’ (panggilan video) itu arwah nampak sihat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Permatang Pauh yang disempurnakan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah di sebuah hotel di sini, hari ini.

Terdahulu, satu majlis tahlil diadakan sebelum mesyuarat berkenaan bagi memperingati pemergian Allahyarham, malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohd. Zaidi memberitahu, beliau dimaklumkan bahawa punca kematian Norazamuddin adalah disebabkan oleh serangan jantung.

“Saya difahamkan bahawa arwah memang ada masalah jantung dan jika tidak silap saya, arwah pernah menjalani pembedahan khas iaitu untuk memasang ‘stent’ pada jantung beberapa tahun yang lalu.

“Mungkin keadaan cuaca di sana (Mekah) terlalu panas sehingga mungkin menyebabkan ramai jemaah yang keletihan termasuk arwah,” katanya yang menjelaskan, Allahyarham sepatutnya pulang ke tanah air bersama isterinya pada 2 Julai depan.

Tambah Mohd. Zaidi, jenazah Norazamuddin bagaimanapun telah selamat disemadikan di Mekah selepas solat Subuh pagi tadi dan ketika ini, pihaknya sedang berusaha untuk membawa pulang isteri Allahyarham ke tanah air lebih awal.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN