UMNO perlu susun pasukan hadapi PRU - Utusan Malaysia

UMNO perlu susun pasukan hadapi PRU

JOHARI Abdul Ghani (tengah) bersalaman bersama para perwakilan UMNO Bahagian Kereteh ketika hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh di Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seluruh jentera UMNO diingatkan supaya segera mengatur langkah dan menyusun kekuatan pasukan bagi memastikan kemenangan mutlak parti keramat itu pada Pilihan Raya Umum Ke-16  (PRU16).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ahli-ahli perlu memberi perhatian dan menyusun gerak kerja pasukan seawal mungkin dalam menghadapi pilihan raya nanti.

“Kalau kita tidak mula melatih diri dari sekarang, apabila tiba waktunya nanti kita tidak memahami bahawa pilihan raya adalah usaha berpasukan.

“Proses ini juga membolehkan kita kenal pasti siapa yang benar-benar boleh bekerja dan siapa yang tidak, sekali gus memastikan hanya mereka yang berkualiti menggerakkan jentera nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh 2025 di sini, hari ini.

Johari berkata, usaha itu penting bagi mengembalikan semula kuasa UMNO demi membina semula negara serta melahirkan barisan kepemimpinan yang lebih berwawasa.

“PRU akan datang saya jangka hampir 40 peratus pengundi terdiri daripada golongan muda yang mana setiap tahun kita menerima kemasukan pengundi muda berusia 18 tahun.

“Jika kita susun strategi dengan baik, golongan ini mampu memberi manfaat besar kepada parti,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, rundingan dan perbincangan berkaitan kerjasama antara UMNO dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti.

Beliau berkata, sebarang keputusan rasmi akan dimaklumkan setelah diputuskan oleh kepemimpinan tertinggi.

“Kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk meneliti dan membuat keputusan terbaik dan kita akan maklumkan,”katanya.

Terdahulu, media melaporkan Barisan Nasional (BN) bersikap terbuka dan bersedia untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana parti politik termasuk rakan dalam Pakatan Harapan (PH) serta parti-parti tempatan Sabah dalam menghadapi PRN Sabah Ke-17. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN