KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan sebidang tanah berkeluasan 9,723 meter persegi yang turut menempatkan Hotel Seri Pacific didaftarkan atas nama UMNO dalam masa sebulan.
Hakim Roz Mawar Rozain memerintahkan sedemikian selepas merekodkan penghakiman persetujuan di antara UMNO dengan Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan selaku responden, semalam.
“Oleh itu, mahkamah merekodkan penghakiman persetujuan pihak-pihak dan perletakhakan tanah (tindakan memindahkan hak milik) tersebut dalam tempoh 30 hari,” kata hakim itu.
Pada prosiding itu, UMNO diwakili peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun dan Norhazira Abu Haiyan.
Berdasarkan draf perintah persetujuan yang diperoleh, pemilikan sebelum ini didaftarkan atas nama pemegang-pemegang amanah iaitu Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Tun Musa Hitam, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid bagi manfaat parti itu.
Pemindahan pemilikan tanah yang didaftarkan atas nama pemegang-pemegang amanah diletakhak dan didaftarkan atas nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) mengikut Seksyen 9 (b) Akta Pertubuhan 1966.
Pendaftar Hakmilik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur perlu mengambil langkah yang perlu untuk melaksana dan mendaftar peletakhak dalam tempoh 30 hari.
Pada 6 Mac lalu, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd. Sumali Reduan memfailkan saman pemula bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya tanah yang dikenali sebagai geran 78154, Lot 40, Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur dipindahkan kepada parti itu selaras dengan Fasal 27.1 Perlembagaan UMNO.
UMNO turut memohon supaya Pendaftar Hakmilik Wilayah Persekutuan atau Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan melaksanakan perintah berkenaan dengan membuat catatan memorial dalam dokumen hak milik.
Dalam afidavit sokongannya, Mohd. Sumali menyatakan bahawa permohonan kebenaran pindah milik melalui Borang Jadual 17 bertarikh 27 Oktober 2015 telah dikemukakan bersama surat akuan bertarikh 22 Oktober 2015 yang ditandatangani empat pemegang amanah. – UTUSAN











