UKM kembali martabatkan Bahasa Melayu

UKM kembali martabatkan Bahasa Melayu

SUFIAN Jusoh bersama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir semasa pelantikannya sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kembali kepada misi asal penubuhannya dengan menjadikan Bahasa Melayu sebagai tunjang utama dalam memperkasa identiti nasional di pentas global.

Naib Canselor UKM, Profesor Dr. Sufian Jusoh berkata, beliau komited mahu untuk memulihkan kedudukan universiti itu sebagai benteng ilmu yang berteraskan jati diri bangsa.

“Kita tidak boleh lupa bahawa UKM ditubuhkan pada 1970 dengan satu misi suci iaitu memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu. Inilah jati diri UKM yang perlu kita hidupkan semula,” katanya dalam majlis serah terima tugas semalam setelah dilantik sebagai Naib Canselor baharu UKM yang ke-14 berkuat kuasa 5 Jun lalu.

Menurutnya lagi, beliau mahu meletakkan fokus UKM kepada rantau ASEAN, khususnya negara-negara serumpun Nusantara yang berkongsi akar bahasa Melayu.

Katanya, visi tersebut bukanlah sekadar retorik politik tetapi satu strategi jangka panjang untuk memposisikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di Asia Tenggara.

Dalam pada itu, beliau turut berhasrat untuk mengembalikan UKM kepada fokus asal seperti termaktub dalam Perintah (Perbadanan) UKM 1971 yang menekankan sains dan teknologi sebagai langkah proaktif menghadapi Revolusi Industri 4.0 yang menuntut universiti tempatan bersaing dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“Kita telah terlalu lama tersasar dari landasan asal. Masa telah tiba untuk UKM kembali memfokuskan kepada sains jati, sains gunaan, sains perubatan, kejuruteraan dan teknologi seperti yang diamanahkan oleh pengasas,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menggariskan lima keutamaan strategik dalam usaha mentransformasi yang bakal mengubah landskap UKM, antaranya inovasi dalam pengajaran dan penyelidikan merentas disiplin.

Selain itu, memfokuskan kerjasama dalaman lebih erat melalui perkongsian teknologi dan kepakaran serta menekankan kolaborasi industri lebih strategik untuk mengenal pasti keperluan sebenar sektor swasta.

“Keutamaan keempat melibatkan penggubalan Indikator Prestasi Utama yang lebih fleksibel dan tidak semata-mata bergantung kepada pengumpulan dana dan bilangan pelajar.

“Akhirnya, keutamaan kelima ialah penubuhan institut penyelidikan rentas disiplin yang mampu menangani cabaran kompleks masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN