BANGI: Seramai 3,800 mahasiswa baharu dijangka mendaftar masuk di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi sesi akademik 2025/2026 pada 27 September ini.
Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh berkata, jumlah itu adalah daripada 4,227 pelajar yang menerima tawaran melalui sistem UPUOnline dan hampir separuh bakal mendaftar nanti adalah B40.
“Bagi mereka yang menolak tawaran, kemungkinan disebabkan menerima tawaran universiti lain, kursus lain atau melanjutkan pengajian ke luar negara,” katanya pada sidang akhbar berkenaan bantuan UKM sempena kemasukan pelajar baharu, hari ini.
Mengulas mengenai kisah bakal mahasiswa Muhammad Aidil Izzudin Akhbar Nizam, 19, yang tidak mampu membayar yuran pendaftaran baru-baru ini, Sufian berkata pihak universiti sudah menghubungi keluarga pelajar tersebut untuk menyalurkan bantuan.
Beliau berkata, Aidil tidak perlu membayar yuran berkenaan selain akan menerima bantuan peralatan asrama ketika hadir untuk mendaftar.
“UKM komited memastikan tiada mahasiswa yang tercicir kerana masalah kewangan, sebaliknya digalakkan memohon bantuan melalui saluran yang disediakan.
“Tolong jangan malu atau segan untuk menghubungi pihak universiti. Jangan sampai mencari ‘ah long’ untuk bayar yuran. UKM sentiasa sedia membantu,” ujarnya.
Tambahnya, sistem digital SISWA UKM yang dibangunkan tahun lalu membolehkan mahasiswa memohon bantuan secara dalam talian dan bayaran terus dikreditkan ke akaun atau dihantar terus ke rumah jika perlu.
“Dengan adanya sistem ini, mahasiswa boleh terus membuat permohonan melalui E-Prihatin dan tidak perlu lagi datang ke pejabat HEP. Jika dokumen lengkap, kelulusan dapat dipercepatkan,” katanya.
Mengulas jumlah bantuan, beliau berkata, UKM mengagihkan RM6.5 juta kepada 8,043 mahasiswa pada tahun lalu manakala RM2.65 juta diagihkan kepada 4,010 mahasiswa setakat September tahun ini.
Selain bantuan awal pendidikan RM1,200 kepada 20 hingga 30 mahasiswa setiap tahun, universiti itu turut menyalurkan Biasiswa Sulung kepada anak pertama yang melanjutkan pelajaran ke universiti awam dalam keluarga.
Pada 2024, seramai 756 mahasiswa menerima biasiswa berjumlah RM1.7 juta manakala bagi 2025, seramai 880 mahasiswa menerima manfaat dengan jumlah keseluruhan RM1.9 juta.
Bantuan lain termasuk zakat kepada warga UKM berjumlah RM4.6 juta pada 2024, bantuan kebajikan Hal Ehwal Pelajar (HEP) RM1.4 juta serta bantuan kebajikan lain sebanyak RM1.77 juta.
UKM juga memperkenalkan dua inisiatif baharu iaitu Dapur Siswa yang dilaksanakan November ini dan Dompet Siswa pada Januari 2026. – UTUSAN










