TV AlHijrah rai Maal Hijrah bersama masyarakat sempena ulang tahun ke-15 - Utusan Malaysia

TV AlHijrah rai Maal Hijrah bersama masyarakat sempena ulang tahun ke-15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sempena ulang tahun ke-15, stesen televisyen, TV AlHijrah tampil menganjurkan Karnival Al-Falah MADANI Indera Mahkota 2025 yang bertempat di Masjid Jamek Beserah, Kuantan, Pahang, bermula dari 27 hingga 29 Jun ini.

Berbeza dengan tahun sebelumnya, TV AlHijrah bakal meraikan ulang tahun serta sambutan Maal Hijrah bersama masyarakat dalam suasana masjid, ilmu dan ibadah serta menghidupkan nilai hijrah dan kebersamaan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, sambutan kali ini juga merupakan usaha stesen penyiaran tersebut untuk berinteraksi lebih dekat dengan masyarakat secara fizikal.

“Ada beza antara menonton dan merasai. Hijrah Berselawat pada Jumaat malam ini bukan sekadar program di kaca TV, tetapi ia ruang untuk menyatu hati, menghidupkan roh dan kembali kepada fitrah bersama ribuan yang lain. Kami menyeru, jangan biarkan diri hanya menjadi penonton.

“Ulang tahun ke-15 ini bukan hanya tentang sejarah TV AlHijrah. Ia adalah kisah tentang bagaimana dakwah telah berkembang, tentang bagaimana setiap langkah kami membawa niat untuk memudahkan kefahaman Islam kepada semua. Kami turun ke Kuantan bukan untuk disambut, tetapi untuk menyambut anda sebagai tanda penghargaan, sebagai cara kami merapatkan jurang antara penyiar dan rakyat.

“Inilah juga sebahagian daripada usaha kolektif agar Islam terus mekar di bumi Malaysia melalui media, ilmu, dan penyatuan hati rakyat.

“Dalam dunia hari ini yang semakin laju dan terpisah, momen seperti ini penting untuk kita berhenti, menginsafi dan kembali kepada asas. Inilah masa untuk kita hadir secara fizikal, bertemu mata, bersalaman, berselawat dan bersatu sebagai ummah,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Sepanjang karnival, TV AlHijrah juga akan mengendalikan ruang interaktif dari pagi hingga malam seperti sesi pertemuan bersama personaliti TV AlHijrah, permainan pendidikan Islamik, aktiviti kanak-kanak, serta edaran cenderamata edisi khas sempena ulang tahun ke-15.

Dalam masa sama, TV AlHijrah turut mengadakan siaran langsung Hijrah Berselawat yang akan dikendalikan oleh Syamsul Debat dan Shamsul Ghau-Ghau, serta dihiasi dengan pengisian rohani daripada PU Rozi Harun, Ustaz Tariq Jaffri, Ustaz Hassan Basri Ali, Ustaz Ahmad Tirmizi Haji Ali, Ustaz Nadir Al Nuri, dan persembahan oleh Al-Maqari, Lah Ahmad, Zaff VE dan Usop Kopratasa pada 27 Jun 2025, jam 9.00 malam hingga 11.00 malam sebagai kemuncak acara.

Stesen penyiaran tersebut turut menyusun rangkai program istimewa seperti tayangan telefilem eksklusif seperti Pimpinku ke Jannah pada 22 Jun, Bilal & Abah pada 29 Jun, dan Sujudku pada 6 Julai sepanjang minggu Maal Hijrah berlangsung.

TV AlHijrah juga bakal membawakan tayangan istimewa siri filem popular dari Indonesia, Hayya: The Power of Love 2 pada hari Jumaat, 27 Jun dan Hayya 2: Hope, Dream & Reality pada hari Sabtu, 28 Jun, juga jam 2 petang.

Selain itu, TV AlHijrah juga bakal menyiarkan program bual bicara dan kerohanian khas seperti Dakwah Live Istimewa Maal Hijrah bertajuk Sejernih Doa Rasulullah pada 25 Jun, Fiqh Ta’ayush pada 26 Jun, Assalamualaikum Khas Maal Hijrah pada pagi 27 Jun dan Gema Haflah Maal Hijrah pada malam 28 Jun,

Kesemua rancangan ini membawa mesej yang memperkukuh nilai hijrah, kasih sayang dan pengharapan dalam kehidupan umat Islam.

TV AlHijrah menjemput seluruh warga Pahang dan sekitarnya untuk hadir dan menyemarakkan semangat hijrah secara fizikal, bersama dalam majlis yang dijanjikan penuh pengisian dan keberkatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN