Tribunal Gaza kecam genosid di Palestin

Tribunal Gaza kecam genosid di Palestin

SEORANG wanita mendukung bayinya sambil menangis selepas melihat kesan kemusnahan akibat bedilan udara tentera Israel di Jabalia, tengah Semenanjung Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tribunal Gaza yang bersidang di Sarajevo, Bosnia Herzegovina mengeluarkan pengisytiharan tegas dan mengecam pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Palestin.

Tribunal itu turut menuntut rejim Israel bertanggungjawab atas pelbagai jenayah kemanusiaan termasuk aparteid, penjajahan penempatan dan pemusnahan sistematik.

“Kami, anggota Tribunal Gaza menyatakan kemarahan terhadap pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Palestin,” katanya menerusi pengisytiharan rasmi tribunal seperti dilaporkan The Palestine Chronicle.

Tribunal yang berlangsung dari 26 hingga 29 Mei lalu, disertai oleh tokoh-tokoh undang-undang, akademik, aktivis hak asasi manusia dan wakil masyarakat sivil dari seluruh dunia.

Ia dipengerusikan oleh Pakar Undang-undang Antarabangsa dan bekas Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk wilayah Palestin yang diduduki, Prof. Richard Falk.

Tribunal itu mula dilancarkan secara rasmi di London, United Kingdom (UK) pada November 2024, sebagai satu platform bebas untuk menilai krisis di Gaza melalui perspektif undang-undang antarabangsa dan prinsip hak asasi manusia.

Menerusi pengisytiharan rasmi itu, tribunal tersebut menyelar dasar dan amalan Israel selama berdekad-dekad yang disifatkan sebagai penjajahan penempatan, ketuanan etnik, aparteid, pengasingan kaum, penganiayaan, kebuluran paksa serta pemusnahan sistematik terhadap rakyat Palestin.

“Kami menggesa pengunduran serta-merta pasukan tentera Israel dari wilayah Palestin, penghentian semua operasi ketenteraan, pengusiran paksa serta aktiviti penempatan haram yang terus melanggar undang-undang antarabangsa.

“Kami menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat terhadap semua tahanan, termasuk ribuan wanita, lelaki dan kanak-kanak Palestin yang ditahan dalam fasiliti tahanan Israel yang tidak berperikemanusiaan,” tegasnya.

Pada masa sama, tribunal turut mengecam masyarakat antarabangsa kerana gagal menghentikan kekejaman berpanjangan terhadap rakyat Palestin.

Katanya, negara-negara Barat, media arus perdana dan institusi akademik juga dinamakan sebagai pihak yang bersubahat, sama ada secara langsung atau melalui penindasan suara-suara bantahan.

“Tribunal menggesa komuniti antarabangsa untuk menegakkan undang-undang antarabangsa, memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan dan menyediakan bantuan segera serta perlindungan kepada rakyat Palestin yang terus dizalimi,” katanya.

Pengisytiharan tegas dari Sarajevo menandakan usaha masyarakat sivil global semakin lantang dalam menuntut keadilan dan menamatkan kekebalan terhadap Zionis Israel yang melakukan jenayah kemanusiaan paling berat pada abad ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN