PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menggesa rakyat Malaysia mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah susulan peningkatan mendadak penggunaan elektrik akibat cuaca panas yang melanda negara sejak kebelakangan ini.
TNB berkata, cuaca tidak menentu yang berlaku telah menyebabkan rakyat lebih kerap menggunakan peralatan penyejuk seperti penyaman udara dan peti ais, sekali gus meningkatkan bil elektrik.
“TNB mengambil maklum kebimbangan pengguna terhadap kenaikan penggunaan dan bil elektrik sewaktu tempoh cuaca yang tidak menentu ini,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, TNB menyarankan orang ramai menyesuaikan sikap penggunaan elektrik bagi mempertingkatkan kecekapan tenaga di kediaman dan premis masing-masing.
“Antara saranan utama ialah menetapkan suhu penyaman udara antara 24°C dan 26°C serta memastikan pintu dan tingkap bilik ditutup rapat untuk keselesaan optimum dan penjimatan tenaga.
“Pengguna juga disarankan menggunakan peralatan elektrik bertaraf Lima Bintang bagi menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih efisien dan menjimatkan.
“Bagi penggunaan harian, TNB mencadangkan supaya rakyat membasuh pakaian dengan muatan penuh untuk penggunaan mesin basuh yang optimum serta menyusun bahan makanan di dalam peti sejuk dengan kemas dan teratur kerana peti sejuk akan berfungsi lebih cekap dengan aliran udara yang lancar.
“Selain itu, pengguna turut dinasihatkan mematikan suis sebaik sahaja peranti elektronik dicas sepenuhnya dan mengelakkan mod siap sedia, termasuk pada komputer dan televisyen,” katanya.
Dalam pada itu, TNB turut melaporkan permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia kekal stabil dan menunjukkan peningkatan seiring pertumbuhan ekonomi negara.
Sepanjang Suku Pertama 2025, syarikat itu merekodkan peningkatan penggunaan terutamanya daripada sektor komersial yang berkembang pesat termasuk industri berintensiti tinggi seperti pusat data.
“Cuaca panas melampau yang melanda kebelakangan ini juga telah menyumbang kepada peningkatan penggunaan elektrik di kediaman dan premis perniagaan.
“Bagaimanapun, TNB memberi jaminan sistem grid syarikat akan kekal kukuh dan mampu menampung keperluan tenaga negara secara efisien dan selamat walaupun berlaku peningkatan permintaan,” katanya.
TNB turut menggalakkan pengguna memanfaatkan aplikasi myTNB untuk memantau penggunaan tenaga secara harian, mengawal bajet tenaga dan mengurangkan risiko bil tinggi naik mendadak.
Bagi premis yang dipasang meter pintar, pelanggan digalakkan menggunakan ciri Energy Budget dalam aplikasi myTNB yang akan menghantar notifikasi apabila tahap bajet yang ditetapkan dicapai.
“Sebagai sebahagian daripada Pelan Peralihan Tenaga dan aspirasi negara ke arah sifar bersih menjelang 2050, TNB telah melaksanakan pelbagai strategi jangka panjang menyeluruh.
“Antaranya ialah penilaian risiko iklim ke atas aset kritikal, pelaburan dalam grid pintar dan infrastruktur fleksibel, serta peralihan kepada sumber tenaga bersih dan mampan dengan 3.3GW kapasiti tenaga boleh baharu di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Tambahnya lagi, TNB juga sedang meneroka peluang kerjasama tenaga rentas sempadan bagi memperkukuh keselamatan bekalan dan meningkatkan integrasi pasaran tenaga serantau melalui interkoneksi ASEAN.
“TNB kekal komited memastikan bekalan elektrik yang stabil, selamat dan mampan kepada semua pengguna, meskipun berdepan cabaran perubahan iklim dan cuaca tidak menentu,” katanya. – UTUSAN