Jiran tidak pernah dengar suara tangisan bayi

Jiran tidak pernah dengar suara tangisan bayi

tahanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jiran kepada bayi perempuan berusia tujuh bulan yang maut di sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras semalam mendakwa tidak pernah mendengar tangisan mangsa terbabit.

Wanita yang enggan dikenali itu berkata, kejadian berlaku di tingkat 19 di mana dia tinggal di aras yang sama dengan kediaman mangsa selain ibu bapa angkat bayi tersebut jarang bergaul.

“Saya sendiri tidak sedar ada bayi di dalam rumah itu kerana sepanjang tinggal di sini tidak pernah pula dengar suara tangisan bayi tambahan rumah itu sering bertukar penyewa.

“Kadangkala sahaja berselisih pasangan itu di pintu lif namun mereka jarang berbual,” katanya di sini hari ini.

Kata wanita itu, dia hanya mengetahui mereka menjaga anak angkat selepas malam tadi banyak kenderaan polis datang ke kediaman tersebut.

“Kami jiran-jiran ada bertanya kepada polis dan mereka hanya memberitahu ada bayi meninggal dunia dan barulah saya tahu rupanya ada bayi di dalam rumah itu,” jelasnya.

Dakwa wanita itu, jirannya juga dipercayai mempunyai masalah dengan pihak pengurusan kondominium ini apabila tidak membayar bil air sehingga terpaksa pihak pengurusan memotong bekalan itu namun mereka menyambungnya semula secara haram.

Sebelum ini, media melaporkan bayi perempuan berusia tujuh bulan maut selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan kebiruan dan lebam di badan di ruang tamu rumahnya di sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan daripada seorang lelaki pada pukul 9.34 malam memaklumkan anak angkatnya tidak sedarkan diri di kediaman mereka tanpa sebab yang tidak diketahui.

Menurutnya, susulan itu, pihak polis ke rumah pasangan terbabit dan mendapati mangsa berada di ruang tamu dalam keadaan kebiruan dan penuh lebam di badan.

Suami isteri berusia 38 dan 50 tahun itu kemudian ditahan bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×