KLANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun antara tiga individu maut apabila bot dinaiki mereka terbalik di perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang di sini, petang semalam.
Tragedi kira-kira pukul 4.30 petang itu turut menyebabkan sepasang suami isteri dilaporkan masih hilang manakala seorang lagi terselamat.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian bot itu dinaiki seramai enam individu tempatan.
Katanya, bot itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik di perairan berkenaan pada jarak kira-kira 0.3 batu nautika di barat Tanjung Harapan.
“Sepasukan anggota maritim meneruskan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) bagi mengesan pasangan suami isteri yang masih hilang pada pukul 7 pagi ini selepas ditangguhkan pada 8 malam tadi.
“Operasi itu diaktifkan oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru pada jam 5.16 petang selepas menerima laporan kejadian berkenaan,” katanya hari ini.
Menurut Abdul Muhaimin, mangsa yang belum ditemui dikenal pasti sebagai Gan Hon Tat, 32, dan isterinya Careen Man, 29, yang berasal dari Klang Utama.
“Pasangan itu dilaporkan berada di atas bot bersama anak mereka, Darren Gan, 3, yang mayatnya ditemukan di ruang hadapan bot bersama seorang lagi mangsa, Cheu Son Hin, 50.
“Turut disahkan meninggal dunia, rakan mereka iaitu lelaki dikenali Fong Yong Sen, 29. Mangsa yang teselamat dikenali Chang Yan Qin Alvin,” ujarnya.
Kata beliau, operasi itu digerakkan pihaknya dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan bot penumpang di sekitar lokasi berkenaan.
“Operasi ditangguhkan ke pukul 7 pagi ini dan JBPM akan membuat penyelaman bagi pencarian semula kerana sebahagian ruang bot itu dipenuhi lumpur.
“Bot terbalik itu ditunda bot penumpang lain dan dibawa ke jeti terapung Ibu Pejabat Maritim Selangor,” katanya.
Tambah Abdul Muhaimin, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut diaktifkan bagi menyelaras semua tindakan mencari dan menyelamat.
“Orang awam diingatkan sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika melakukan sebarang aktiviti di laut, termasuk pemakaian jaket keselamatan dan memantau keadaan cuaca semasa.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan di laut boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Selangor di talian 03-3176 0627 atau MERS 999 bagi tindakan lanjut,” katanya.-UTUSAN