Tidak mahu pisahkan tiga beradik

Tidak mahu pisahkan tiga beradik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Waris pasangan suami isteri, Jamal Azizul Samat, 44, dan Lizawati Abdullah, 41, yang maut dalam kemalangan di Batu 8, Lepar, Pekan kelmarin, menyerahkan kepada anak-anak arwah berhubung soal penjagaan selepas menjadi yatim piatu akibat nahas itu.

Seorang waris, Salwani Samat, 37, yang juga adik kepada arwah Jamal Azizul berkata, buat sementara waktu, tiga anak mangsa yang turut terlibat dalam kemalangan berkenaan tinggal di Kuantan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, tumpuan sepenuh­nya diberikan bagi memastikan ketiga-tiga mereka sembuh sepenuhnya dari kecederaan yang dialami.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Buat sementara waktu, mereka tinggal di Kuantan ke­rana lebih dekat untuk mendapatkan rawatan susulan selepas mereka keluar hospital nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Terdahulu, Jamal Azizul dan Lizawati, maut dalam kemala­ngan kira-kira pukul 10 malam kelmarin apabila kereta Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori.

Insiden menyayat hati itu menyebabkan empat anak mereka berusia antara enam hingga 17 tahun iaitu Nursyammie, Muhammad Syamril Alif, Norsyamira dan Muhammad Syakir Iman yatim piatu sekelip mata.

Anak ketiga mereka, Norsya­mira, tidak berada bersama mereka ketika kejadian kerana tunggal dengan neneknya, Siti Manap, 60, iaitu ibu kepada arwah Lizawati, di Felda Keratong 9, Rompin sejak lebih setahun lalu.

Salwani berkata, pihak keluarga tidak memaksa anak arwah untuk tinggal dengan sesiapa selepas sembuh, sebaliknya menyerahkan keputusan itu sepenuhnya kepada mereka.

“Kita akan tunggu sehingga mereka benar-benar sembuh dahulu. Selepas itu, biarlah mereka sendiri yang tentukan dengan siapa mereka ingin tinggal. Apa yang penting, kami tidak akan memisahkan tiga beradik ini kerana mereka sangat rapat sejak kecil,” ujarnya.

Menurutnya, Muhammad Syam­ril Alif sudah dibenarkan keluar hospital kelmarin dan kini dijaga ibu dan bapa saudaranya bagi mendapatkan rawatan susulan di klinik kesihatan berhampiran.

Katanya lagi, Nursyammie, dan Muhammad Syakir Iman, 6, masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

“Keadaan kedua-dua mereka kini semakin baik dan menunjukkan perkembangan positif sejak dimasukkan ke hospital. Buat masa ini, saya menjaga Nursyammie manakala kakak saya pula menjaga Muhammad Syakir Iman di hospital.

“Untuk sementara waktu, kami adik-beradik arwah akan bergilir menjaga anak-anak ini. Fokus utama kami kini adalah memastikan mereka semua pulih sepenuhnya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini