PETALING JAYA: Ketiadaan sistem biometrik lengkap adalah antara punca Malaysia terus dibelenggu isu pendatang asing tanpa izin (PATI) sejak berpuluh-puluh tahun.
Pakar Undang-Undang Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, negara jiran seperti Singapura mempunyai sistem biometrik yang lengkap.
“Kita pula, adakah kita tahu siapa yang pernah masuk? Adakah kita sudah mempunyai sistem pangkalan data mengenai PATI? Kalau sudah ditahan dan dihantar pulang, adakah akan disenarai hitam? Kalau tidak, mereka boleh masuk semula,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Pada 22 Mei lalu, akhbar ini pernah melaporkan bahawa Kerajaan Malaysia terus menanggung beban besar apabila sejumlah RM89 juta setahun dibelanjakan hanya untuk memberi makan kepada 16,412 PATI yang kini ditempatkan di depot tahanan Jabatan Imigresen seluruh negara.
Salawati berkata, beban besar yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan dalam isu PATI mencerminkan kegagalan berterusan dalam menguruskan isu itu yang berlarutan sejak puluhan tahun.
Katanya, masalah itu belum menemui penyelesaian konkrit kerana terlalu banyak faktor kemanusiaan diambil kira.
“Saya sudah ulas isu ini sejak 20 tahun lalu. Sekarang 2025, masalah sama, alasan kerajaan pun sama tiada duit, tiada sumber. Sampai bila?
“Malaysia tidaklah terlalu lemah dalam kawalan migrasi, namun terlalu banyak faktor kemanusiaan diambil kira, hingga akhirnya menjadi ‘bala’ yang ditanggung sendiri. Kita menerima pelarian, kita suap makan.
“Lihat sahaja Singapura, mereka bertindak tegas tanpa kompromi. PATI boleh ditembak terus kerana negara itu memang tidak menerima pelarian. Di sana, hampir tiada isu PATI,” katanya.
Dalam masa sama, Pakar Undang-Undang Antarabangsa, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli turut mengakui ketegasan Singapura dalam menguruskan PATI.
Jelasnya, kerajaan boleh mempelajari kaedah di Singapura, namun tidak perlu meniru secara bulat-bulat kerana sistem dan penguatkuasaan di perairan berbeza.
“Singapura misalnya sangat tegas. Siapa masuk tanpa izin, terus dihantar balik. Mereka menggunakan teknologi biometrik, kamera merata-rata dan majikan pula perlu menanggung kos kalau ambil PATI.
“Penguatkuasaan perairan kita masih boleh dibaiki. Kita perlu lebih banyak kerjasama dengan Indonesia, Thailand dan Filipina. Perlu buat rondaan bersama, kongsi maklumat dan jangan terlepas pandang kawasan yang menjadi laluan masuk utama,” katanya. – UTUSAN











