KUALA LUMPUR: Isteri kepada pelakon, Fikry Ibrahim, Siti Khalizah Alihan, 37, enggan mengulas lanjut alasan memfailkan cerai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Siti Khalizah yang hadir menyarungkan jubah hitam dilihat bergegas pulang ketika diasak soalan daripada pengamal media.
“Saya minta maaf, saya tak boleh cakap apa-apa,” katanya ringkas ketika ditemui Utusan Malaysiaz
Bagaimanapun, peguam mewakili Khalizah, Wan Muhammad Afiq Mohd Razib memaklumkan, punca anak guamnya menuntut perceraian adalah disebabkan tiada persefahaman.
“Hari ini adalah sebutan hari pertama, namun defendan (Fikry) tidak hadir dan mahkamah menetap satu tarikh baharu untuk kedua-dua pihak mencapai kata sepakat untuk berdamai. Prosiding seterusnya adalah pada 10 September 2025.
“Saya hanya boleh maklumkan punca perceraian adalah tiada kesefahaman. Pihak defendan sudah terima surat permohonan cerai daripada pihak kami,” katanya.
Dalam pada itu, tambah Afiq, Khalizah tidak menutup ruang berbincang bagi mencari jalan keluar menyelamatkan perkahwinan.
“Khalizah menfailkan cerai sekitar Mei. Buat masa ini, Khalizah masih mahu berbincang untuk berdamai, masih mahu beri ruang untuk pendamaian,” katanya.
Utusan Malaysia sudah berusaha menghubungi Fikry Ibrahim namun panggilan tidak berjawab.
Sebelum ini, Fikry dan Khalizah selamat melangsungkan perkahwinan secara rahsia pada 12 Februari di sebuah masjid di Jitra. Kedah. -UTUSAN