PETALING JAYA : Tiada sebarang kenyataan atau arahan dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berhubung garis panduan pengagihan daging korban di masjid sempena sambutan Aidiladha.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JIM, Ismail Mokhtar berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai penularan kenyataan bertarikh 5 Jun iaitu pada Khamis lalu yang dikaitkan dengan pihaknya.
“Untuk makluman, kenyataan berkenaan adalah tidak benar dan tidak dan tidak pernah dikeluarkan oleh JIM.
“Pihak kami tidak mengeluarkan sebarang arahan atau panduan sebagaimana yang dinyatakan dalam kenyataan berkenaan.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa merujuk kepada saluran rasmi jabatan untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, JIM menghargai kerjasama semua pihak dalam menyalurkan dan berkongsi maklumat sahih.
Katanya, pihaknya juga memandang serius penyebaran maklumat palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan awam.
“Sebarang penggunaan lambang rasmi dan nama jabatan tanpa kebenaran adalah satu kesalahan dan boleh diambil tindakan undang-undang.
“Kami juga menyeru orang ramai supaya berhati-hati dan bertanggungjawab dalam menyebarkan sebarang maklumat yang belum dipastikan kesahihannya,”jelasnya.
Terdahulu, tular kenyataan mempunyai lambang rasmi JIM yang mendakwa sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, JIM akan menjalankan pemantauan ketat terhadap aktiviti pengagihan daging korban di semua masjid di seluruh negara.
Kenyataan itu mendakwa ia selaras dengan arahan dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri.-UTUSAN