KUANTAN: Kekurangan kajian dan data saintifik berhubung tiga spesies belangkas yang terdapat di negara ini menyebabkan Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) sukar membuat penilaian sebenar berhubung status pemuliharaan haiwan purba tersebut.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, Malaysia mempunyai tiga daripada empat spesies belangkas di dunia iaitu carcinorcorpius rotundicauda, tachypleus tridentatus dan tachypleus gigas.
Satu lagi spesies, limulus polyphemus hanya terdapat di Amerika Utara.
“Malaysia mesti menyumbang kepada data IUCN untuk mendapat perhatian antarabangsa berkaitan perlindungan dan pemuliharaan belangkas.
“Tambahan di Malaysia terdapat tiga daripada empat spesies belangkas di dunia. Semua pakar yang ada mesti digembleng untuk membuat penyelidikan dan menulis penerbitan sebagai rujukan IUCN dengan segera.
“Kajian terperinci tentang tiga spesies belangkas di habitat liar mesti dilakukan segera sebelum haiwan ini pupus. Kawasan di mana spesies belangkas dijumpai mesti dikenal pasti, misalnya kawasan paya bakau untuk spesies carcinorcorpius rotundicauda. Kawasan pantai untuk trachypleus gigas dan di pantai barat Borneo bagi spesies tachypleus tridentatus,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ahad lalu, Mingguan Malaysia melaporkan, keterujaan peminat makanan eksotik menikmati hidangan belangkas bakar atau kerabu telur belangkas mengancam populasi haiwan itu kerana seekor belangkas yang dimasak turut menghancurkan 18,000 biji telurnya.
Sedangkan, proses menunggu seekor belangkas mencapai usia matang dan dewasa serta kembali semula ke pantai untuk bertelur memerlukan sekurang-kurangnya 10 tahun.
Ahmad berkata, cabaran besar dalam kajian tentang belangkas adalah maklumat yang kurang terutama tentang biologi dan ekologinya, ancaman pengurangan populasi yang mendadak akibat kerosakan kawasan pembiakan, habitat semula jadi dan pencemaran serta pengutipan yang berlebihan.
“Kajian pencemaran logam berat seperti raksa dalam belangkas dan habitatnya sudah memberikan bayangan bahawa belangkas menghadapi masalah keracunan dan selain mengancam populasi mereka,” katanya.
“Kajian agresif tentang belangkas dalam kurungan perlu diaktifkan segera dan menyambung kajian kumpulan saintis terdahulu yang sudah bersara. Memandangkan kepada kepentingan haiwan ini dalam makanan, kesihatan dan petunjuk penyakit penting, maka peruntukan, kajian dan latihan bakat baharu diperlukan,” katanya.
Beliau berkata, daripada laporan penerbitan saintifik dan laporan-laporan lain, kajian saintifik tentang belangkas banyak dilakukan oleh Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah.
“Kajian dilakukan berkisar kepada pembiakan, kitaran hidup, ekologi, genetik, populasi di habitat liar untuk tujuan pemuliharaan. Kawasan fokus kajian seperti di Pantai Timur, perairan Terengganu, Pantai Balok di Pahang dan Sungai Johor. Kajian seterusnya juga boleh dilakukan dalam kurungan untuk tujuan akuakultur.
“Kajian haiwan purba ini sangat penting daripada segi sains evolusi dan perubatan,” ujarnya. – UTUSAN