KUALA LUMPUR : Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung desas-desus bahawa beliau akan dilantik sebagai Menteri penuh dalam rombakan Kabinet.
Katanya, kuasa pelantikan menteri adalah hak mutlak Perdana Menteri dan keputusan berkenaan harus dibuat tanpa tekanan mana-mana pihak.
“Lantikan menteri ini adalah hak penuh Perdana Menteri. Kita beri ruang kepada beliau untuk menilai dan membuat keputusan pada masa yang sesuai.
“Sama ada saya dilantik sebagai Menteri penuh atau kekal sebagai Timbalan Menteri, komitmen saya untuk terus berjuang membela rakyat Malaysia tidak akan berubah.
“Jawatan bukan ukuran. Selagi saya dalam politik, saya akan terus berjuang untuk semua rakyat Malaysia, khususnya komuniti India yang sering kali tertinggal,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran P.E.N.N di Ibu Pejabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bandar Sri Damansara hari ini.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan tiada permohonan rasmi diterima berhubung kemasukan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke dalam PKR setakat ini.
“Setiap permohonan perlu melalui tapisan yang sama. Kita ikut proses. Tak kisah siapa pun dia,” katanya.
Tambah beliau, setiap individu yang menyertai parti memberi nilai tambah, tanpa mengira kedudukan atau latar belakang.
Sementara itu, Ramanan berkata, beliau yakin program dan dasar yang dibawa kerajaan untuk membantu masyarakat India akan diteruskan kerana keberkesanannya sudah dirasai oleh rakyat.
“Kalau ada pihak yang cuba hentikan program ini, saya percaya mereka perlu bersedia berdepan reaksi keras daripada masyarakat. Saya tak bimbang tentang perkara itu,” ujarnya.-UTUSAN