Terokai keunikan seni bina rumah warisan guna AR, VR

Terokai keunikan seni bina rumah warisan guna AR, VR

AHMAD Holil Rusman (kiri) menujukkan penggunaan VR bagi melihat keunikan seni bina Rumah Warisan Mak Ani.-UTUSAN / NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Keunikan seni bina Rumah Warisan Mak Ani berusia 100 tahun yang terletak di Kampung Parit Tinggi di Kuala Pilah kini boleh diteroka menerusi teknologi Realiti Terimbuh (AR) dan Realiti Maya (VR).

Ia hasil projek dokumentasi Lukisan Rumah Warisan Mak Ani oleh sekumpulan pelajar semester akhir bagi program Diploma Seni Bina Politeknik Port Dickson yang menggabungkan pendekatan teknikal dan digital.

Ketua kumpulan pelajar tersebut, Ahmad Holil Rusman, 22,  berkata rumah tersebut dipilih kerana strukturnya yang dibina sepenuhnya tanpa menggunakan paku.

Katanya, ia dibina menggunakan teknik pasak tradisional dengan memasukkan batang kayu tajam ke dalam tanggam bagi menghasilkan ikatan yang kukuh dan stabil.

“Kami berada di lokasi selama seminggu bagi mengumpulkan data pembinaan rumah tersebut secara terperinci.

“Ia merangkumi lukisan 2D, pembinaan model 3D dalam perisian SketchUp dan menyediakan model berskala 1:75 untuk rujukan visual fizikal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Katanya, kesemua data yang diperoleh kemudiannya diproses dalam bentuk digital melalui dua kaedah iaitu AR dan VR bagi membolehkan pengalaman imersif dan interaktif, seolah-olah pengguna sedang berada di dalam rumah sebenar.

Selain itu, katanya, dokumentasi turut dilengkapi dengan animasi, dokumentari temubual bersama pemilik rumah serta penerbitan buku mewah yang menghimpunkan rekod visual dan maklumat berkaitan sejarah petempatan asal.

“Kami mahu teknologi ini menjadi medium baharu dalam menyampaikan maklumat sejarah dan seni bina tradisional. Tujuan lain adalah untuk memelihara seni bina tradisional Negeri Sembilan agar generasi akan datang dapat melihat sendiri binaan warisan ini.

“Contohnya, pada masa hadapan, walaupun rumah tersebut tidak selamat dinaiki atau diduduki, mereka masih lagi boleh melihat keadaan di dalam rumah tersebut tanpa ada risiko kecederaan,” ujarnya.

Tambahnya, rumah tersebut turut menampilkan pelbagai ciri seni bina tradisional seperti ande-ande, kekisi angin, pagar musang serta ukiran dan tangga yang mencerminkan identiti masyarakat Minangkabau.

Pensyarah, Siti Fatimah Tuzzahrah Abd Latif, 41,  pula berkata, projek berkenaan merupakan penilaian akhir bagi subjek Lukisan Terukur yang perlu menghasilkan lukisan bangunan tradisional Negeri Sembilan dalam bentuk dua dimensi (2D) dan model tiga dimensi (3D). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN