MELAKA: Semua projek pembangunan tertangguh di Melaka yang dirancang pelaksanaannya tahun ini perlu disiapkan dalam tempoh enam bulan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, ia perlu diberi keutamaan bagi memastikan sasaran pembangunan yang ditetapkan dapat dicapai.
Menurutnya, setakat 31 Mei lalu sebanyak RM19.52 juta atau 22.18 peratus daripada peruntukan keseluruhan berjumlah RM88 juta bagi pembangunan khusus 2025 telah dibelanjakan.
“Ini termasuklah status 241 projek sehingga Jun tahun ini yang mana 86 projek telah disiapkan sementara 100 projek lagi masih dalam pelaksanaan. Sebanyak 55 projek pula masih belum bermula.
“Saya difahamkan terdapat lima projek yang diklasifikasikan sebagai lewat kini telah mula dilaksanakan. Semua projek yang tertangguh perlu diberi keutamaan dan disegerakan dalam tempoh masa berbaki enam bulan sebelum 2026,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutup Sesi Libat Urus Bajet Pembangunan Negeri Melaka Tahun 2026 di sini, hari ini.
Tambah Ab. Rauf, sebanyak 913 permohonan projek dengan peruntukan berjumlah RM157.86 juta telah diterima melalui sesi libat urus tersebut.
Katanya, setiap permohonan akan diperhalusi agar mendatangkan impak yang jelas, di samping memberi tumpuan khusus kepada kesejahteraan dan keperluan rakyat.
“Apa juga misi, strategi, indikator atau pelan tindakan yang dirancang perlu direalisasikan dengan tindakan jelas iaitu mendahulukan projek yang paling mendesak.
“Kita perlu memastikan projek yang diluluskan dapat dilaksanakan sebaik mungkin kerana lebih 60 peratus peruntukan bajet pembangunan negeri adalah daripada hasil negeri,” ujarnya. – UTUSAN










