PETALING JAYA : Jumlah sitaan kes penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuhraya di Lembah Klang membabitkan seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri kini bernilai RM143 juta.
Jumlah itu diperoleh hasil operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dijalankan sejak minggu lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, bagi menyeleweng dana-dana berkenaan, pihak terlibat dipercayai turut menggunakan golongan profesional seperti juruaudit, pakar kewangan, jurutera serta syarikat-syarikat yang bertindak sebagai penerima wang secara berlapis (layering).
Kata beliau, sehingga kini SPRM belum mengambil keterangan Tan Sri itu kerana beliau masih berada di wad di salah sebuah hospital swasta.
“Pada hari ini juga, pegawai siasatan telah mendapatkan pengesahan daripada doktor berkaitan status kesihatan Tan Sri itu sebelum dirakamkan keterangannya.
“Sementara itu, keterangan 45 orang dan saksi-saksi yang telah diambil keterangan sebelum ini telah dipanggil semula untuk memberikan keterangan lanjut,” katanya di sini.
Azam berkata, pasukan siasatan juga sedang mengesan kenderaan mewah dan hartanah Tan Sri di dalam serta luar negara termasuk di London dan Switzerland.
Selain itu, beliau turut memberitahu, siasatan kini turut tertumpu kepada nilai sebenar minuman alkohol mewah dalam simpanan Tan Sri dengan kemungkinan wang berkenaan telah dipindahkan ke akaun lain.
“Pada masa yang sama, notis pengistiharan harta juga telah diserahkan kepada Tan Sri dan pihak yang berkaitan,” jelasnya.
Beliau menambah, jumlah terkini sitaan melibatkan 14 akaun individu berjumlah RM4.5 juta; lapan akaun syarikat berjumlah RM33 juta, kondominium mewah dan sebidang tanah bernilai RM24.5 juta; sembilan unit kereta berjumlah RM7.65 juta.
Jelas beliau, sebanyak 13 buah kereta masih belum diserahkan kepada pasukan siasatan.
Turut disita adalah jam tangan mewah bernilai kira-kira RM25 juta, tas tangan bernilai RM3 juta, barang kemas serta berlian (RM6 juta) dan empat ekor kuda bernilai RM400,000.
“Selain minuman beralkohol bernilai RM3 juta, aset luar negara yang dinilai lebih daripada RM15 juta serta aktiviti perjudian yang dianggarkan kira-kira RM20 juta,”jelasnya.
Azam memberitahu, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di antara tahun 2016 hingga 2020 di mana dana sukuk diluluskan berjumlah kira-kira RM1.35 billion melibatkan penyelewengan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM360 juta dan RM416 juta.
Ia turut membabitkan pinjaman fasiliti bank lain sebanyak RM50 juta.
“Projek lebuh raya yang bernilai RM1.67 billion ini juga gagal disiapkan dalam tempoh telah ditetapkan.
“Siasatan juga menumpukan isu rasuah bernilai RM12 juta dibayar kepada pihak tertentu sebagai balasan membantu membuat pengaliran wang keluar dan dikembalikan semula kepada suspek,” katanya.
Azam berkata, hasil tuntutan dana yang diseleweng ini dipercayai turut digunakan dalam aktiviti penggubahan wang haram.