Tak semua orang dapat buat benda yang mereka suka - Utusan Malaysia

Tak semua orang dapat buat benda yang mereka suka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Trisha Ooi mungkin masih baharu dalam industri hiburan tanah air, tetapi semangat, dedikasi dan kecintaannya terhadap dunia lakonan menjadikannya salah seorang pelapis yang perlu diberi perhatian.

Selepas meraih gelaran Pelakon Wanita Harapan di Festival Filem Malaysia ke-33 menerusi filem Janna Endoro, Trisha mengakui trofi yang digenggam turut mengheret beban untuknya melaksanakan sesebuah karya dengan lebih baik lagi selepas kemenangan itu.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna anak kelahiran Kuala Lumpur ini bersikap memilih dalam menanti naskhah-naskhah tertentu.

Kata Trisha, dia sebolehnya membuang perasaan begitu kerana sedar masih baharu dan perlu mencabar diri sendiri dalam membawakan pelbagai watak.

“Bagi saya, setiap projek drama atau filem, sama ada besar atau kecil, watak utama mahupun hanya muncul sebagai cameo, saya tetap tetap ikhlas membawakannya.

“Tak semua orang dapat buat benda yang mereka suka. Jadi setiap peluang adalah ruang untuk saya membuktikan kemampuan.

“Sebab itu saya terima juga tawaran berlakon dalam filem Nar’Sata: Sekufu Setan arahan Pierre Andre.Saya nak dapatkan pengalaman dan kali ini nak tahu juga bagaimana rasanya bekerja dengan Pierre.

“Pada masa yang sama, saya harap apabila filem ini keluar nanti, ia akan melekat di hati penonton dan siapa tahu, juga di hati juri-juri Festival Filem Malaysia,” katanya.

Menurut Trisha, pernah menggenggam trofi Anugerah atau tidak bukan penghalang untuk dirinya terus memperbaiki kelemahan kerja seni lakonnya.

Malah, apalagi jika sudah sering dia katakan bahawa dunia seni adalah bidang yang menjadi kecintaannya.

“Terus-terang, saya tidak melihat kejayaan itu sebagai titik akhir. Sebelum menang pun rezeki itu tak pernah putus. Tapi selepas menang, saya mula menerima tawaran yang lebih mencabar.

“Mungkin ramai pengarah dan penerbit yang mula nampak kemampuan saya selepas itu. Tetapi harus semua tahu saya buat semua ini kerana minat mendalam.

“Saya sangat cintakan industri ini. Jadi saya tak kisah kalau orang kata saya hanya boleh berlakon aksi, atau hanya sesuai untuk genre seram.

“Saya tahu kemampuan saya dan saya harap terus dapat peluang untuk menyerlahkan bakat,”katanya.

Pada masa yang sama, Trisha juga menyimpan impian lebih besar selain menikmati kerjaya sebagai seorang pelakon.

Bagi Trisha, dia menanam azam untuk mengangkat martabat industri seni tempatan menerusi bakat yang dimiliki.

Justeru, apabila ditanyakan mengenai pendapatnya sama ada dia meletakan dirinya sebagai seorang pelakon filem atau cenderung ke arah drama, Trisha tampil dengan jawapan bernada tegas.

“Saya tak pernah letakkan diri saya dalam kategori tu. Saya suka industri ini secara keseluruhan, yang mana saya anggap industri penceritaan.

“Saya tak rasa saya perlu pilih antara TV atau filem, sebab apa yang saya betul-betul inginkan adalah untuk menaikkan martabat industri seni kita.

“Ini bukan sekadar perjuangan untuk diri sendiri. tetapi, siapa lagi yang nak angkat industri ini kalau bukan kita sebagai anak seni?

“Ya saya tahu saya masih baharu tapi saya nak bantu angkat industri kita supaya dunia akan pandang industri kita pula,”katanya.

Dalam pada itu, Trisha bakal memegang watak sebagai Balqis dalam naskhah arahan Pierre itu yang turut dibintangi oleh barisan pelakon lain seperti Mawar Rashid, Fadlan Hazim, Dai Fuad, Imranul Effendy dan Aniq Suhair.

Turut terbabit sama ialah Khatijah Tan, Namron, Wan Hanafi Su, Ashraf Muslim dan Vanidah Imran.
Filem ini mengisahkan Balqis, seorang wanita yang dikhianati dan nyaris dibunuh oleh sekumpulan lelaki.

Dia kemudiannya diselamatkan oleh seorang nenek misteri sebelum bangkit dengan satu tujuan, membalas dendam dan membongkar rahsia hitam yang menghantui hidupnya.

Penggambaran filem Nar’sata dijadualkan bermula pada 20 Mei hingga 17 Jun 2025, dengan keseluruhan penggambaran dilakukan di lokasi sekitar Lembah Klang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN