KUCHING: Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lima peratus yang dilaksanakan kerajaan melibatkan makanan import dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pertanian tempatan seperti pengeluaran sayur-sayuran, ikan dan daging.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, pelaksanaan cukai itu bukan sahaja menggalakkan pengeluaran domestik, malah sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan untuk memastikan kelestarian sekuriti makanan.
“Dengan perubahan iklim, ketidaktentuan geopolitik seperti konflik di Asia Barat, perang Ukraine-Russia serta ketegangan di Laut China Selatan, kita tidak boleh bergantung kepada import selama-lamanya.
“Kita mesti bersedia untuk berdikari dalam hal makanan,” katanya ketika ditemu-bual pada Majlis Apresiasi Jabatan Pertanian Sarawak di sini, hari ini.
Menurutnya, statistik semasa menunjukkan defisit import-eksport makanan negara meningkat kepada RM7.6 bilion pada 2023, berbanding RM5.6 bilion sebelumnya, menandakan keperluan mendesak untuk meningkatkan pengeluaran tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap import.
Justeru, Rundi berkata, inisiatif sedang dirancang untuk menanam jagung bijirin, ubi kayu dan bahan makanan haiwan secara berkala bagi membantu mengurangkan kebergantungan terhadap import soya dan jagung dari negara seperti Brazil dan Argentina.
“Kita mahu hasilkan sendiri makanan haiwan. Kita tanam sendiri jagung dan jika perlu, guna ubi kayu. Jika ini dapat dilaksanakan, barulah kita boleh kawal defisit import makanan,” katanya.
Dalam pada itu, Stephen berkata, kerajaan juga sedang giat meningkatkan kadar sara diri (SSL) beras negara terutama di kawasan Limbang dan Lawas.
“Sekarang Malaysia pada tahap 32 peratus, dengan 68 peratus bekalan beras diimport terutama dari Vietnam dan India.
“Kalau negara pengeksport utama tidak dapat bekal, kita akan hadapi masalah besar. Sebab itu kita serius mahu tingkatkan penanaman padi,” katanya.
Rundi berkata, kerajaan juga sedang meneliti penggunaan benih padi hibrid berproduktiviti tinggi seperti yang digunakan di Hainan, China yang mampu menghasilkan 15 tan metrik sehektar hanya dalam satu musim.
Katanya, kaedah itu turut melibatkan penggunaan mekanisasi penuh bagi meningkatkan daya pengeluaran dan mengurangkan kebergantungan kepada buruh.
“Sekarang tiada siapa mahu tanam padi kerana pulangan tak setanding sawit, tapi kita tak boleh makan sawit. Kita mesti cari kaedah baharu yang menguntungkan petani.
“Impian saya ialah Sarawak menjadi negeri yang berdikari dari segi makanan dan saya percaya, dengan perancangan rapi, impian ini akan jadi kenyataan,” katanya. – UTUSAN










