SPRM rakam keterangan Jovian esok di Jakarta

SPRM rakam keterangan Jovian esok di Jakarta

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil keterangan bekas menantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Jovian Mandagie, di Jakarta, Indonesia esok.

Menurut sumber, keterangan pereka fesyen berusia 39 tahun itu akan direkodkan di satu lokasi di Jakarta di mana Jovian kini menetap.

Difahamkan, pasukan penyiasat akan berada di sana selama dua hari untuk proses merekod keterangan yang disifatkan penting kerana beberapa dokumen perlu disahkan Jovian.

Ini bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Ismail Sabri yang juga bekas Perdana Menteri.

Dalam sidang akhbar sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, Jovian merupakan saksi yang dinamakan oleh Ismail Sabri ketika direkod keterangan sebelum ini untuk mengesahkan aset yang diisytihar kepada SPRM.

SPRM terdahulu dilaporkan dalam proses menganalisis semua aset terbabit kerana sumber pendapatan Ismail Sabri terlalu banyak di mana bekas pemimpin nombor satu negara itu telah berkhidmat dalam pelbagai sektor termasuk swasta selain memiliki beberapa syarikat ketika bukan anggota pentadbiran.

Ahli Parlimen Bera itu disiasat antara lain membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia sepanjang tempoh pentadbirannya sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Kes berkenaan disiasat mengikut peruntukan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN