PETALING JAYA : Tindakan pembekuan tujuh hartanah dan satu akaun milik Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarga yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengelakkannya daripada dilupuskan.
Utusan Malaysia difahamkan, sitaan itu merupakan sebahagian daripada harta bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin bernilai RM2 bilion yang dikesan SPRM untuk dilucutkan kerana tidak diisytiharkan.
Aset-aset yang disita itu adalah harta bernilai tinggi yang dibuka dalam lapan kertas siasatan terbaharu SPRM, baru-baru ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ia adalah sebahagian tindakan awal yang dilakukan SPRM dalam siasatan itu.
“Dalam kes ini, kita sudah memasuki permohonan di mahkamah untuk restraining order (perintah sekatan) bagi tujuan pembekuan aset itu di luar negara.
“Kita juga akan meneruskan siasatan lanjut bagi akaun-akaun yang sudah disita kerana kita perlu membuat penyitaan bagi mengelakkan ia dilupuskan oleh pihak-pihak tertentu,” katanya di sini.
Beliau berkata, sekiranya restraining order ini tidak dibuat maka besar kemungkinan harta-harta yang kita syaki tidak diisytiharkan ini akan dilupuskan.
Semalam, media melaporkan tiga kediaman mewah di London menjadi antara tujuh hartanah dan satu akaun bank didakwa milik isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, dibekukan oleh SPRM membabitkan nilai berjumlah GB£132 juta (RM758.2 juta).
Hasil siasatan dijalankan SPRM mendapati harta alih dan tidak alih itu adalah perkara atau keterangan yang berhubung dakwaan suatu kesalahan bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid, membenarkan permohonan SPRM yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, untuk membekukan kesemua harta berkenaan pada prosiding secara sebelah pihak (ex-parte), semalam.
Permohonan SPRM itu dibuat mengikut Seksyen 53 AMLATFPUAA 2001 bagi siasatan mengikut Seksyen 4(1) akta sama.
Sementara itu, peguam dan bekas Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berpandangan, pengeluaran perintah larangan tidak membawa maksud atau andaian bahawa harta yang terlibat diperoleh melalui cara rasuah atau menyalahi undang-undang.
“Perintah ini hanya bertujuan untuk menyekat sebarang urus niaga ke atas harta tertentu sementara siasatan oleh SPRM dijalankan. Ia merupakan langkah sementara untuk mengekalkan status quo dan mengelakkan pelupusan harta semasa siasatan sedang berjalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, perintah larangan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi itu juga adalah melalui permohonan ex parte, iaitu tanpa notis awal atau kehadiran pihak yang terbabit.
“Pada peringkat ini, pihak yang dikenakan perintah itu masih belum diberi peluang untuk memberi maklum balas atau mencabar permohonan itu di mahkamah,” katanya.
Dzulkifli juga menjelaskan, dalam kes pembekuan aset keluarga Daim itu, istilah undang-undang yang tepat dalam konteks ini ialah perintah larangan (prohibitory order) dan bukannya perintah pembekuan (freezing order).
Katanya, perintah pembekuan merujuk kepada tindakan di bawah Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), yang lazimnya membabitkan akaun bank dan instrumen kewangan tertentu.
“Sebaliknya, kes ini, ia membabitkan perintah larangan yang dikeluarkan di bawah Seksyen 53 AMLA, yang berkaitan dengan sekatan terhadap sebarang urus niaga membabitkan harta di luar Malaysia yang dipercayai ada kaitan dengan aktiviti haram,” katanya.-UTUSAN