Siasatan polis berhubung satira politik keterlaluan

Siasatan polis terhadap Ketua DAPSY berhubung satira politik keterlaluan

WOO Kah Leong (duduk, dua dari kiri) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat DAP Negeri Perak, Ipoh semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan polis menyiasat Ketua DAPSY Kebangsaan, Woo Kah Leong berhubung karikatur satira politik bukan sahaja tidak masuk akal, bahkan dianggap keterlaluan.

Pengerusi DAP Pahang, Lee Chin Chen berkata, siasatan terhadap Kah Leong juga berisiko mewujudkan budaya white terror atau penganiayaan dan satu langkah ke belakang yang mengancam asas kebebasan bersuara dalam negara.

Katanya, karikatur satira po­litik itu adalah bertujuan menyangkal kenyataan berbaur fit­nah dilontarkan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Karikatur tersebut adalah satu bentuk ekspresi seni satira yang menyampaikan kritikan terhadap kenyataan-kenyataan ekstrem dan penuh fitnah oleh Razman.

“Beliau telah sering kali me­mfitnah antaranya termasuk melontarkan serangan jahat terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

“Sekiranya ahli politik seperti Razman bebas menyebarkan fitnah dan kebencian tanpa sebarang pertanggungjawaban tetapi mereka yang menyampaikan kritikan pula disiasat dan ditekan, maka sistem demokrasi dan kebebasan bersuara akan terancam,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Tambah Chin Chen, karikatur itu adalah satu bentuk ekspresi politik yang sah di sisi demokrasi dan undang-undang, malah merupakan sebahagian daripada budaya politik matang.

Katanya, satira terhadap ahli politik bukan satu jenayah tetapi cara menyampaikan pandangan, ketidakpuasan hati dan kritikan terhadap pemimpin yang me­nyalahgunakan pengaruh dan menyebarkan kebencian.

“Jika Razman tidak bersetuju dengan kandungan satira tersebut, beliau seharusnya tampil dengan hujah dan fakta bukannya berselindung di belakang polis untuk menyekat kritikan.

“Saya menyeru agar pihak polis kembali kepada prinsip keadilan dan profesionalisme. Jangan biarkan institusi yang sepatutnya menjaga keselamatan rakyat digunakan menjadi alat kepada pihak tertentu untuk membungkam suara rakyat,” katanya.

Sementara itu, Kah Leong disoal siasat polis semalam berhubung hantaran dalam media sosialnya didakwa karikatur Razman berpakaian seperti badut pada 10 April lalu.

Peguamnya yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Syahredzan Johan berkata, dua pegawai penyiasat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik mengambil ke­terangan Kah Leong selama kira-kira 30 minit di pejabat exconya.

“Kami telah dimaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat dan perkara ini disiasat oleh IPD Gerik. Rakaman perca­kapan pun telah diambil.

“Soalan-soalan telah diajukan dan telah dijawab oleh saudara Kah Leong. Kita telah memberi kerjasama penuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×