PUTRAJAYA: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjelaskan bahawa beliau kini sedang menjalani kehidupannya dengan baik di luar kancah politik sekali gus menepis desas-desus mengenai penyertaannya ke dalam Kabinet.
Khairy berkata, beliau kini sedang menjalani kehidupannya dengan baik iaitu sebagai penyampai radio dan hos podcast.
Sehubungan itu, beliau kekal memilih untuk tidak menjawab persoalan mengenai penyertaannya ke dalam Jemaah Menteri yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
“Come on lah, I’m living my best life, why would I leave this? (Saya sedang menjalani kehidupan yang terbaik, mengapa pula saya nak tinggalkan ini?” katanya sambil berseloroh ketika ditemui pemberita, di sini.
Khairy hadir bagi merasmikan pelancaran produk baharu Tealive iaitu serbuk minuman 3-dalam-1 di IOI City Mall, di sini.
Khabar angin kuat mengatakan bahawa Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO itu akan menyertai Kabinet selepas pengunduran Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad pada minggu lalu.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu dijangka akan dilantik sebagai ahli Dewan Negara dan seterusnya mengisi portfolio Menteri Perladangan dan Komoditi yang ditinggalkan oleh Datuk Seri Johari Ghani yang turut dijangka akan mengetuai Kementerian Ekonomi.
Selain daripada itu, Khairy yang mesra disapa dengan KJ itu turut dikhabarkan akan menyertai UMNO semula selepas lebih dua tahun dipecat daripada parti.
Dalam pada itu, Khairy turut enggan mengulas mengenai usaha bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menubuhkan jawatankuasa sekretariat orang Melayu bagi menghimpunkan kumpulan masyarakat itu di bawah satu ‘payung besar’.
“Saya bukan ahli Perikatan Nasional (PN) mahupun ahli UMNO buat masa ini, jadi saya tidak mahu komen tentang ini. Kita fokus tentang pelancaran ini sahaja,” katanya. –UTUSAN










