CYBERJAYA: Mulai 1 Januari depan, semua kontrak kerja (penggajian) yang dimuktadkan dikenakan duti setem selaras dengan pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS).
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan memaklumkan, kelewatan penyeteman kontrak penggajian akan dikenakan penalti sewajarnya.
Justeru, katanya, semua majikan dikehendaki menyemak dan mengemas kini semua dokumen kontrak penggajian yang telah dan akan ditandatangani untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan penyeteman di bawah Akta Setem 1949.
“Kontrak penggajian yang dimuktamadkan mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2025 adalah tertakluk kepada duti setem dan diberi peremitan penalti lewat penyeteman.
“Ia berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Pemungut Duti Setem di bawah subseksyen 47A(2) Akta Setem 1949 dengan syarat dokumen kontrak penggajian tersebut disetemkan pada atau sebelum 31 Disember 2025,” katanya hari ini.
LHDN berkata, pihaknya telah menjalankan aktiviti audit duti setem di seluruh negara serta operasi pematuhan pelaksanaan STSDS sebagaimana diumumkan menerusi Belanjawan 2025.
Katanya, antara penemuan utama pihaknya adalah dokumen kontrak penggajian di antara majikan dan pekerja yang tidak disetemkan mengikut item 4, Jadual Pertama, Akta Setem 1949 yang mana duti setem yang ditetapkan adalah RM10.
Katanya, jumlah dokumen kontrak penggajian adalah tinggi dan isu ini merupakan penemuan audit baharu.
“(Mengambil kita isu itu) serta untuk mengurangkan beban majikan, Kementerian Kewangan membuat keputusan kontrak penggajian yang dimuktamadkan sebelum 1 Januari 2025 diberi pengecualian duti setem berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Menteri Kewangan.
“Ia di bawah subseksyen 80(1A) Akta Setem 1949 dan peremitan penalti lewat penyeteman berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Pemungut Duti Setem di bawah subseksyen 47A(2) Akta Setem 1949,” katanya. – UTUSAN