TELUK INTAN: Tertarik dengan keunikan Menara Condong, seorang warga Singapura menyatakan sudah sembilan kali melancong ke bandar ini hanya untuk melihat bangunan ikonik itu.
Dr. Lee Tiong Lai, 65, berkata, dia tidak pernah berasa jemu melihat Menara Condong yang binaannya bercirikan seni bina pagoda.
“Saya mungkin sudah jatuh cinta dengan Menara Condong ini, bagi saya menara ini adalah satu keajaiban seni bina yang tidak jemu untuk dilawat.
“Seni binanya indah, unik dan menerusi menara ini pelancong dapat melihat sejarah dan warisan bandar ini dan kawasan sekitarnya.
“Sebab itu saya tidak pernah jemu mengunjungi bandar ini terutama menara. Ini kali kesembilan saya datang ke Teluk Intan. Sebelum ini saya datang bersama kawan-kawan perniagaan dan hari ini saya datang bersama keluarga mengikuti rombongan pelancongan dari Singapura,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Tiong Lai, saat paling menyeronokkan apabila dapat naik ke bahagian atas menara dan menyaksikan pemandangan yang sangat indah sekitar Teluk Intan.
Menurutnya, dari atas beliau dapat melihat Sungai Perak dan bangunan lama yang masih kukuh dan ada yang dicat semula agar nampak lebih segar.
“Bangunan menara ini benar-benar unik, kerana kalau dilihat daripada segi luaran menara, mungkin nampak menara ini tinggi, mungkin setinggi bangunan lapan tingkat. Tapi sebenarnya ada tiga tingkat sahaja.
“Apabila dapat naik ke bahagian atas menara, bagaikan satu kejutan apabila dapat melihat keseluruhan bandar ini. Ini menambahkan lagi keunikan menara. Bagi saya, setiap kali melawat menara ini, sentiasa ada rasa keunikan tersendiri yang tidak ada pada bangunan lain,” katanya.
Beliau turut memuji usaha Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) yang menjaga struktur menara dengan baik terutama kawasan sekitarnya.
Katanya, setiap kali bertandang, terdapat perubahan daripada segi landskap dan tahap kebersihan yang sentiasa dipertingkat.
“Kawasan persekitaran luas, memudahkan pengunjung untuk bersantai. Tempat letak kenderaan juga semakin banyak dan memudahkan pengunjung meletakkan kenderaan hampir dengan menara ini,” katanya. – UTUSAN