PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil keterangan seorang individu bergelar Tan Sri esok berhubung kes penyelewengan dana sukuk pembinaan sebuah lebuh raya di Lembah Klang.
Menurut sumber, pemegang konsesi lebuh raya berkenaan akan hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
“Ya, disahkan beliau akan hadir esok pada pukul 9 pagi. Beliau sudah keluar dari hospital selepas selesai menjalani rawatan,” katanya di sini.
Sebelum ini media melaporkan SPRM masih belum mengambil keterangan seorang Tan Sri berhubung siasatan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya.
Ia berikutan individu pemegang konsesi lebuh raya itu masih mendapat rawatan berkaitan masalah kesihatannya di sebuah hospital swasta.
SPRM sebelum ini memaklumkan jumlah sitaan yang melibatkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang itu bernilai RM143 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, bagi menyeleweng dana-dana berkenaan, pihak terlibat dipercayai turut menggunakan golongan profesional seperti juruaudit, pakar kewangan, jurutera serta syarikat-syarikat yang bertindak sebagai penerima wang secara berlapis (layering).
Sementara itu, keterangan 45 orang dan saksi-saksi yang telah diambil keterangan sebelum ini telah dipanggil semula untuk memberikan keterangan lanjut.
Pasukan siasatan juga sedang mengesan kenderaan mewah dan hartanah Tan Sri di dalam serta luar negara termasuk di London, United Kingdom dan Switzerland.
Selain itu, siasatan kini turut tertumpu kepada nilai sebenar minuman alkohol mewah dalam simpanan Tan Sri dengan kemungkinan wang berkenaan telah dipindahkan ke akaun-akaun lain.
Pada masa yang sama, notis pengisytiharan harta juga telah diserahkan kepada Tan Sri tersebut dan pihak yang berkaitan.
Jumlah terkini sitaan melibatkan 14 akaun individu berjumlah RM4.5 juta; lapan akaun syarikat berjumlah RM33 juta, kondominium mewah dan sebidang tanah bernilai RM24.5 juta; sembilan unit kereta berjumlah RM7.65 juta.
Sebanyak 13 buah kereta masih belum diserahkan kepada pasukan siasatan.
Turut disita adalah jam tangan mewah bernilai kira-kira RM25 juta; tas tangan bernilai RM3 juta; barang kemas serta berlian (RM6 juta) selain empat ekor kuda bernilai RM400,000.
Selain itu, turut disita minuman beralkohol bernilai RM3 juta; aset luar negara yang dinilai lebih daripada RM15 juta serta aktiviti perjudian yang dianggarkan kira-kira RM20 juta. – UTUSAN