KUALA LUMPUR: Pelakon, Kamal Adli, 39, menasihatkan kepada pendatang baharu dunia lakonan agar tidak membudayakan sikap kerap bermain telefon atau media sosial ketika bekerja.
Katanya, sikap tersebut mencerminkan sisi tidak profesional mereka selain menyusahkan pelakon lain di set penggambaran.
“Saya sebenarnya gembira kerana ramai juga ‘budak baharu’ yang tidak sombong dan berkawan dengan semua orang di set penggambaran.
“Tetapi sampai juga ke telinga saya yang kononnya ada juga pelakon baharu yang tak buat persediaan dan selalu bermain telefon di set penggambaran.
“Saya pun tertanya-tanya sejauh mana seriusnya mereka dalam bidang ini. Mereka ini benar-benar mahu jadi pelakon? Atau sekadar mahu dapatkan wang tambahan dengan berlakon?” katanya.
Kamal berkata demikian pada sesi tayangan episod pertama drama Hilang Kasyorga terbitan Country & Universal Sdn. Bhd.
Drama untuk tayangan saluran DEGUP, Unifi TV itu turut membariskan pelakon hebat antaranya Ellie Suriaty, Azhar Sulaiman, Nabila Huda, Luqman Hafiz, Fadilah Mansor, Kodi Rashid dan ramai lagi.
Mengulas lanjut, Kamal berharap pelakon baharu faham bahawa bidang drama dan perfileman adalah industri yang serius membabitkan pelaburan yang besar.
“Pelakon-pelakon baharu yang tidak serius ini perlu mencontohi sikap serius pelakon senior yang kalau bekerja, telefon pun mereka tak pegang.
“Lakonan ini bidang profesional, yang patut masuk industri ini adalah mereka yang benar-benar bersedia dan faham kerja mereka.
“Tapi ada sebilangan pelakon baharu tak bersikap begitu. Tak tahulah, mungkin mereka anggap berlakon ini kerja separuh masa sahaja,” kongsinya. – UTUSAN